Apabila fon telinga digunakan secara kerap, sudah tentu ada kekotoran terperangkap di dalamnya seperti tahi telinga, daki dan habuk. Bahkan bekas pengecasnya juga mungkin ada kekotoran terkumpul dalam lubang pengecas. Maka, pengguna perlu bersihkannya dengan betul supaya ia boleh digunakan dalam keadaan baik.
Untuk membersihkan fon telinga dan bekasnya, anda perlukan sekurang-kurangnya satu kain bebas lin, sedikit air dan alat bermata halus seperti pencungkil gigi atau pin.
Jika terdapat bintik-bintik kotor yang susah untuk hilang, anda mungkin perlukan alkohol juga. Berikut merupakan cara yang boleh anda lakukan untuk bersihkan fon telinga tanpa getah, fon telinga bergetah dan bekas pengecas.
1. Cara bersihkan fon telinga tanpa getah
Jika anda ada fon telinga tanpa getah seperti airpods, mula-mula sekali anda perlu lap bahagian luar fon telinga dengan kain lembab. Kemudian, gunakan kain kering untuk keringkan fon telinga. Seterusnya, gunakan alat bermata halus untuk keluarkan kekotoran yang tersekat di dalam lubang pembesar suara fon telinga.
Keluarkan tahi telinga atau apa sahaja kekotoran yang tersekat secara berhati-hati, pastikan anda fokus bersihkan di sekeliling tepi pembesar suara. Jika anda guna objek tajam seperti pin atau jarum, anda perlu berhati-hati agar alat itu tidak menembusi pembesar suara.
2. Cara bersihkan fon telinga dengan getah
Jika anda mempunyai fon telinga dengan getah seperti AirPods Pro, Amazfit PowerBuds Pro atau Nothing Ear (1), anda perlu bersihkan tips silikon yang ada pada pembesar suara fon telinga.
Caranya, tanggalkan tips silikon itu dari pangkal fon telinga dan bilas dengan air. Jangan tambah sabun atau cecair pembersih lain. Kemudian, lapkannya sehingga kering dengan kain yang lembut. Seterusnya, pasangkan ia semula pada fon telinga, anda hanya perlu laraskan hujung tips silikon pada pembesar suara fon telinga dan tolaknya dengan kuat.
3. Cara bersihkan bekas pengecas
Untuk bersihkan bekas pengecas, anda perlu keluarkan fon telinga terlebih dahulu. Kemudian gunakan kain kering untuk lap bahagian luar bekas tersebut. Jika ada bintik-bintik degil pada bekas pengecas, anda boleh lembabkan kain dengan alkohol dan lap pada kawasan berbintik itu.
Untuk keluarkan serpihan kotoran dari port pengecasan, gunakan berus dengan bulu yang lembut. Bagi bahagian dalam bekas pengecas pula, gunakan berus berbulu lembut atau berus gigi untuk mengorek kotoran dari sudut dan celah di dalamnya. Setelah selesai, sebelum anda masukkan fon telinga semula, pastikan bekas tersebut kering terutamanya pada bahagian dalam dan port pengecas.
[Sumber: Businessinsider]