Honda hari ini telah melancarkan keluarga Honda City Hatchback untuk pasaran Malaysia.
Sebanyak 4 gred diperkenalkan, setiap satunya berbeza pada sudut spesifikasi dan harga. Berikut adalah senarai harga varian Honda city hatchback yang boleh didapati di Malaysia.
- Grade S – RM75,330
- Grade E – RM82,740
- Grade V – RM87,520
Ia adalah harga dengan 0% SST sehingga 30 Jun 2022. Harga untuk gred e:HEV RS akan diumumkan kemudian.
Kalau anda perasan, harganya sedikit lebih tinggi berbanding versi sedan dalam julat RM1,300 hingga RM1,500.
Gred RS miliki perbatuan 27.7km/L
Yang ingin Honda ketengahkan pada pelancaran ini ialah Honda City Hatchback RS e:HEV. Untuk makluman anda, frasa e:HEV akan menjadi istilah payung untuk merujuk kepada kereta Honda jenis hibrid.
Bermula dengan komponen janakuasa, kereta ini ada dua komponen yang hasilkan kuasa. Yang pertama ada enjin petrol 1.5L. Janakuasa kedua adalah motor elektrik.
Honda menggelar teknologi hibrid ini sebagai i-MMD dan ia nyata lebih jimat minyak berbanding kereta dalam sirinya sebelum ini. Menggunakan sistem tadbir urus pintar, perbatuan petrolnya boleh mencecah 27.7km/L.
Integrasi dua komponen ini mampu hasilkan 80kW tenaga serta daya kilas sehingga 253 Nm, angka yang tertinggi dalam kelasnya. Menurut Honda, pengalaman memecut kereta ini setanding dengan kereta dengan enjin 2.5L.
Untuk perspektif, Honda city hatchback versi biasa ada 145Nm manakala Perodua Myvi ada 137Nm.
Makanya usah berangan untuk lumba drag di lampu isyarat dengan kereta ini.
Ultraseat diwarisi daripada Honda Jazz
Honda City Hatchback didatangkan dengan ciri Ultraseat tapi versi Sedannya tidak. Inilah salah satu keunikan kereta ini.
Bahagian kerusi penumpang belakang boleh dimanipulasi kedalam empat konfigurasi bagi memaksimumkan ruang yang ada. Anda boleh pilih sama ada mode refresh, utility, long, dan tall.
Ruang penyimpanan belakang versi e:HEV RS adalah 289L. Ia adalah angka yang kecil berbanding 354L pada Honda Jazz. Saiz boot untuk versi petrol tidak pula dikongsikan Honda Malaysia.
Saiz penyimpanan kecil ini disebabkan sebahagian ruang dimakan oleh bateri. Malah, kereta ini tidak didatangkan dengan tayar kecemasan. Hanya kit penampal sahaja ada. Tapi, versi petrol masih ditayangkan dengan tayar kecemasan tradisional.
Sistem infotainment 8″ yang sokong Apple Carplay dan Android Auto
Selain daripada varian S, tiga varian di atasnya menerima sistem infotainment yang lebih baik. Mereka beroleh sistem dengan panel paparan 8″ berwarna yang menyokong Apple Carplay dan Android Auto.
Tak perlu lagi cari pemegang telefon untuk tujuan navigasi. Kemudian, anda boleh lupakan radio FM dengan lawak bodoh kerana boleh dengar podcast dengan kandungan yang lebih berilmiah melalui sistem audio 8 speaker (varian V dan RS sahaja).
Sehingga 2 port USB boleh ditemui pada kereta ini untuk mengecas gajet anda.