Xiaomi sekali lagi kembali untuk memperkukuh kedudukan mereka dalam segmen pertengahan. Dulu, kita ada raja telefon bajet siri Redmi Note 10, kini kita ada Redmi Note 11 dan ada 4 varian semuanya.
Harga siri Redmi Note 11 untuk pasaran A.S
Setakat ini, kita cuma ada harga siri Redmi Note 11 untuk pasaran luar sahaja. Tapi semestinya telefon-telefon ini akan masuki Malaysia, cumanya varian mana dan konfigurasi RAM/storan yang mana masih menjadi persoalan. Berikut adalah harga-harga yang diumumkan.
Redmi Note 11
RAM 4GB, storan 64GB – USD179 (~RM750)
RAM 4GB, storan 128GB – USD199 (~RM834)
RAM 6GB, storan 128GB – USD229 (~RM960)
Redmi Note 11S
RAM 6GB, storan 64GB – USD249 (~RM1,044)
RAM 6GB, storan 128GB – USD279 (~RM1,169)
RAM 8GB, storan 128GB – USD299 (~RM1,253)
Redmi Note 11 Pro
RAM 6GB, storan 64GB – USD299 (~RM1,253)
RAM 6GB, storan 128GB – USD329 (~RM1,379)
RAM 8GB, storan 128GB – USD349 (~RM1,463)
Redmi Note 11 Pro 5G
RAM 6GB, storan 64GB – USD329 (~RM1,379)
RAM 6GB, storan 128GB – USD349 (~RM1,463)
RAM 8GB, storan 128GB – USD379 (~RM1,589)
Spesifikasi Redmi Note 11 dan Redmi Note 11S
Kedua-dua telefon ini miliki fizikaliti yang sama tapi bahagian dalam Redmi Note 11S lebih menyerupai Redmi Note 11 Pro. Panel paparan yang sama dikongsikan antara dua varian ini iaitu panel AMOLED 90Hz 6.43” FHD+ begitu juga dengan bateri 5,000mAh dengan pengecasan pantas 33W.
Atas papan utama, Redmi Note 11 diperkasa SoC Snapdragon 680, SoC yang sama seperti Realme 9i yang dilancarkan tak lama dulu sementara Redmi Note 11S mengguna pakai MediaTek Helio G96.
Di jabatan pengimejan, kedua-dua varian ada kuadkamera belakang dengan Redmi Note 11 ada kamera utama 50MP manakala Redmi Note 11S ada kamera 108MP. Baki tiga kamera belakang lain masing-masing adalah kamera 8MP (ultralebar), 2MP (makro), dan 2MP (depth). Selfie untuk dua saudara diambil dengan kamera 13MP.
Kalau anda perlukan slot khas untuk letak mikro-SD bersama-sama dengan 2 kad SIM, dua varian terbawah ini adalah pilihan yang anda ada kerana dua varian yang lebih tinggi tidak ada. Antara yang menarik dengan telefon ini adalah seperti speaker stereo, jek 3.5mm, NFC, dan IR Blaster.
Spesifikasi Redmi Note 11 Pro dan Redmi Note 11 Pro 5G
Seperti namanya, kedua-dua varian ini dibezakan dengan salah satunya menawarkan sambungan 5G kepada anda. Walaupun berbeza, kedua-dua telefon ini miliki fizikaliti yang sama iaitu mereka berkongsi panel paparan 6.67” FHD+ 120Hz dan bateri 5,000mAh dengan pengecasan pantas 67W. Sambungan 5G kepada Note 11 Pro 5G diberikan oleh cip Snapdragon 695 manakala di Note 11 Pro biasa, sambungan LTE-nya diberikan cip MediaTek Helio G96.
Untuk mengambil gambar, mereka masing-masing ada kamera 108MP 8MP (ultralebar), dan 2MP (makro). Cumanya, varian bukan 5G ada satu kamera tambahan, kamera 2MP (depth) yang saya rasa tak berguna sangat pun. Untuk berselfie, kedua-dua telefon ini diberikan kamera 16MP.
Sama seperti dua varian yang lebih rendah, dua varian yang lebih tinggi ini juga dilengkapi speaker stereo jek audio 3.5mm, dan IR Blaster untuk kemudahan penggunanya. Salah satu kekurangan Redmi Note 11 Pro 5G dan LTE adalah slot SIM-nya adalah daripada jenis hibrid dan bukannya trislot. Jadi, anda hanya boleh masukkan 1 kad SIM sekiranya anda ingin perluaskan storan menggunakan mikro-SD.