ASUS tahun ini benar-benar memberikan cabaran kepada pasaran telefon pintar, terutama dalam kategori bajet rendah. Bulan lepas mereka melancarkan ZenFone Max Pro M1 yang mahu menyaingi Xiaomi Redmi Note 5. Tidak lama lagi, ASUS Malaysia akan melancarkan pesaing kepada Xiaomi Redmi 5A iaitu telefon pintar yang paling banyak dijual di Lazada tahun lepas.
DirectD telah memaparkan iklan tentang kedatangan telefon pintar ASUS ZenFone Live L1 (ZA550KL). DirectD turut menyatakan harganya ialah RM3xx, bermakna di bawah RM400. Tanda harga yang boleh menyaingi Redmi 5A yang kini berharga RM379 dengan GST 0%.
COMING SOON! RM3XX ONLY
*ASUS Zenfone Live(L1)ZA550KL*• 5.5" FULL-View Display 18:9 ratio
• 2GB RAM +16GB ROM
• Front 5MP(LED flash)
• Snapdragon 425
• Rear 13MP(f2.0)
• 3000mAh BatteryPosted by DirectD on Saturday, June 16, 2018
Tetapi bagaimana pula dengan spesifikasi ZenFone Live L1? Ia memiliki banyak persamaan dengan Redmi 5A, dan sangat berbaloi dengan harganya.
Kuasa dalaman ZenFone Live L1 diuruskan oleh cip Snapdragon 425, 2GB RAM dan 16GB storan. Ia memiliki 3 slot kad, boleh memuatkan 2 kad sim nano dan 1 kad mikroSD serentak. Baterinya sebesar 3,000mAh dan dicas melalui port mikroUSB.
Untuk kamera, ia dilengkapi sensor 13MP F2.0 di belakang dan sensor 5MP F2.4 di hadapan. Teknologi Pixelmaster terdapat di kedua-dua kamera ini, di samping LED Flash di belakang dan LED Flash bercahaya lembut untuk kamera depan.
Tetapi sampai sini sahaja persamaan ZenFone Live L1 dan Redmi 5A.
Skrin ZenFone Live L1 lebih baik kerana ia lebih besar dan lebih lebar, berukuran 5.5-inci dalam nisbah 18:9 dan resolusi HD+. Kedudukan speakernya pula terletak di bawah, berbanding di belakang untuk Redmi 5A.
Pengimbas capjari tidak terdapat pada ZenFone Live L1 dan Redmi 5A. Tetapi ZenFone Live L1 menjalankan sistem operasi Android 8.0 Oreo bersama ZenUI 5.0. Ia turut menyokong pengecaman wajah untuk membuka kunci skrin.
ASUS ZenFone Live L1 telah dilancarkan di Indonesia dengan harga IDR 1.399.000 (~RM396) untuk model 2GB RAM + 16GB storan, dan IDR 1.699.000 (~RM481) bagi 3GB RAM dan 32GB storan. Jadi tidak hairan jika harganya bermula kurang dari RM400.
Terdapat satu lagi model ZenFone Live L1 yang lebih murah. Ia dikuasakan sistem operasi Android Go, menggunakan 1GB RAM sahaja dengan kamera belakang 8MP. Lain-lain perkara ia sama sahaja dengan ZenFone Live L1 biasa. Jika model ini dilancarkan di Malaysia, sudah pasti ia diletakkan pada harga lebih rendah, dan mejadi pesaing kepada Nokia 1 yang dikuasakan Android Go dan dijual pada harga RM299 pada GST 0% sekarang.
Jika anda mahu membeli Redmi 5A, mungkin anda boleh bersabar sebentar menunggu ketibaan ZenFone Live L1 ini. Jika benar harganya boleh menyaingi Redmi 5A, maka ZenFone Live L1 adalah satu lagi pilihan untuk dipertimbangkan. Boleh semak lebih lanjut tentang telefon ini di laman produk ASUS ZenFone Live L1.