U Mobile, penyedia perkhidmatan telekomunikasi dengan pelan mudah alih yang sangat berbaloi, hari ini memperkenalkan pelan pascabayar baru yang murah. Dipanggil Pascabayar 38, ia berharga RM38/bulan dan datang dengan data berkelajuan tinggi yang banyak.
Jika dahulu U Mobile menawarkan pelbagai data khusus aplikasi bersama pelan seperti Video Onz dan Music Onz, pelan Pascabayar 38 ini menghapuskan semuanya dan menawarkan satu kuota data untuk semua. Dengan bayaran RM38/bulan, pelanggan akan menerima 30GB data berkelajuan tinggi bersama panggilan tanpa had ke semua talian di Malaysia.
Apabila kuota 30GB habis digunakan, pelanggan masih boleh menggunakan internet tetapi kelajuan disekat kepada 64kbps sahaja. Kalau mahu kelajuan pantas kembali, boleh melanggan Data Booster sebanyak 5GB, berharga RM10 yang sah untuk 3 hari. SMS pula dikenakan caj sebanyak 3 sen sesama U Mobile dan 8 sen ke talian lain.
Pelanggan lama P38 akan ditukar kepada pelan baru Pascabayar 38
U Mobile menyatakan di dalam ruangan soalan lazim (FAQ), pelanggan pelan pelan Pascabayar P38 lama, akan dinaik taraf secara automatik kepada Pascabayar 38 baharu pada 22 Mac 2022. Pelan lama ini menyediakan 4GB data berkelajuan tinggi bersama data khusus tanpa had Music-Onz, App-Onz dan Waze.
Pelan Pascabayar 38 sedia 5G?
Turut dinyatakan di ruangan FAQ, pelan Pascabayar 38 ini sedia untuk 5G. Semua pelanggan Pascabayar 38 dengan peranti mudah alih 5G di kawasan Live 5G boleh mengakses dan menikmati perkhidmatan 5G.
Bagaimanapun, U Mobile masih belum bekerjasama dengan Digital Nasional Berhad (DNB) untuk penggunaan rangkaian 5G di Malaysia. Apa yang dimaksudkan tentang sedia 5G ini masih belum jelas buat masa ini. Yang pasti, pengguna masih belum boleh menggunakan 5G apabila melanggan pelan Pascabayar 38 ini sekarang.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web Pascabayar U Mobile.