Pesaing Alipay terima lampu hijau Malaysia

Dalam satu laporan antarabangsa, pemilik Wechat iaitu Tencent, menyatakan semakin hampir membawakan ekosistem Wechat Pay ke Malaysia. Ia berikutan Tencent sudah berjaya mendapatkan lesen pembayaran elektronik di Malaysia.

Reuters melaporkan, Naib Presiden Kanan Tencent, S.Y. Lau berkongsi dalam temuramah bahawa Tencent sedang bersedia untuk melancarkan ekosistem pembayaran elektronik Wechat Pay di Malaysia, dan merancang untuk melancarkannya awal tahun depan.

Perkara ini dimaklumkan selepas pesaing terbesar Wechat, Alibaba Group baru sahaja mengumumkan kerjasamanya dengan CIMB Group di Malaysia untuk membentuk TNG Digital. Ia merupakan satu sistem pembayaran elektronik seakan Alipay yang boleh digunakan di Malaysia.

Malaysia menjadi tumpuan utama syarikat dari China kerana potensi yang amat besar. Tambahan pula, Malaysia memiliki pengguna Wechat seramai 20 juta orang dan mesra dengan produk internet dari China, tambah Lau.

Asia Tenggara merupakan rantau ekonomi yang pesat berkembang di dunia, dengan lebih 600 juta penduduk. Malaysia pula memiliki lebih dari 20% etnik Cina, menjadikannya tumpuan syarikat-syarikat teknologi di Malaysia untuk bersaing berebut pasaran.

Buat masa ini, pembayaran Alipay telah sedia digunakan secara meluas di Malaysia seperti 7-Eleven. Tetapi ia hanya boleh digunakan oleh pelawat dari China kerana masih belum mendapat akses ke perbankan di Malaysia.

Dengan ketibaan kedua-dua gergasi pembayaran elektronik dari China ini, kita boleh melihat sistem pembayaran elektronik di Malaysia akan berubah secara drastik tahun depan. Ia bakal dirancakkan lagi bersama pemain-pemain tempatan seperti Vcash oleh Digi, Boost oleh Axiata Digital dan juga Favepay.

[Sumber: Reuters]

BACA  Mavic 2 Enterprise Ahli Baru DJI Khas Untuk Operasi Menyelamat