Vivo V7 pilihan pakar swafoto yang lebih murah

vivo Malaysia hari ini melancarkan vivo V7, versi lebih kecil vivo V7+ yang dilancarkan sebelum ini. Ia memiliki semua kehebatan vivo v7+ dalam badan lebih kecil.

Datang dengan skrin nirbingkai bergelar Fullview Display serta kamera hadapan 24MP, perbezaan ketara V7 dari abangnya adalah saiz skrin lebih kecil, 5.7-inci bernisbah 18:9 dan resolusi HD+ 1440×720.

Storan dalamannya juga diperkecilkan menjadi 32GB sahaja. Turut sama dikurangkan adalah kapasiti bateri, kepada 3,000mAh.

Tetapi yang paling penting, harganya menjadi lebih murah. Berbanding vivo V7+ yang berharga RM1,499, vivo V7 dijual di Malaysia pada harga RM1,299. Jualan akan bermula dari 25 November di stor vivo dan laman e-dagang, dengan dua pilihan warna iaitu Emas dan Hitam.

Kehadiran vivo v7 kini menjadi persaingan kepada telefon pintar nirbingkai yang hampir sama harga dengannya, seperti OPPO F5 (RM1,298) dan juga Huawei Nova 2i (RM1,299).

Vivo V7 diperkasa pemproses kelas permulaan, Snapdragon 450 bersama 4GB RAM. Ia menggunakan antaramuka Funtouch 3.2 berasaskan Android 7.0 Nougat.

Kamera hadapan pakar swafotonya menggunakan sensor 24MP, memiliki cahaya lembut untuk selfie yang cerah. Kamera belakangnya pula 16MP dengan autofokus PDAF dan lampu flash LED.