Hitam dan Kristal Swarovski akan ditawarkan bersama OPPO F5 6GB

OPPO Malaysia akan mula membuka tempahan OPPO F5 6GB pada 6 Disember ini, tetapi hari ini mereka mengeluarkan satu kenyataan penting. Berkaitan warna hitam dan kristal Swarovski.

Pada awalnya, OPPO memaklumkan versi 6GB OPPO F5 akan hadir dalam warna merah sahaja. Kini ia diumumkan akan turut tiba dalam pilihan warna Hitam. Tetapi ini bukan perkara paling istimewa.

Khas untuk 1,000 tempahan pertama OPPO F5 6GB berwarna merah, pembeli akan turut menerima hadiah istimewa berupa casing bertatahkan kristal Swarovski. Casing ini akan datang bersama telefon pintar OPPO F5 6GB berwarna merah dalam kotak khas.

Tempahan OPPO F5 6GB akan dibuka bermula hari Rabu, 6 Disember 2017 pada jam 12.30 tengah hari. Ia boleh dibuat menerusi stor online OPPO Malaysia di www.oppostore.com.my.

OPPO F5 6GB adalah versi OPPO F5 yang dipertingkat. Ia memiliki 6GB RAM dan storan lebih besar 64GB. Lain-lain perkara kekal sama seperti skrin 6.0-inci bernisbah 18:9 dengan resolusi 2160×1080, dan pemproses Mediatek Helio P23 8-teras.

Kamera hadapannya menggunakan sensor 20MP f/2.0 dengan bantuan kecantikan AI, manakala kamera belakangnya 16MP f/1.8. Ia memiliki bateri sebesar 3,200mAh tetapi tidak disertakan pengecas pantas VOOC.

OPPO F5 dengan 4GB RAM telah dijual pada harga RM1,298. Terdapat versi lebih rendah iaitu OPPO F5 Youth dengan 3GB RAM dan 32GB storan, dijual berharga RM1,098.

Harga OPPO F5 6GB masih lagi misteri, tetapi kami menjangkakan ia akan dijual sekitar RM1,598. Kami akan bersama Neelofa di majlis pelancarannya hari rabu nanti. Jumpa di sana.