Laptop Acer Swift 5 hasil diet yang berjaya tanpa perlu berlapar

Laptop baru Acer Swift 5 yang ultra ringan, ultra nipis dan ultra berguna, kini boleh dimiliki di Malaysia. Walaupun nampak nipis dan ringan, ia dibina dengan materi yang kukuh dan utuh.

Tebal Acer Swift 5 baru ini hanyalah 14.9mm. Beratnya pula tidak sampai 1kg, lebih tepat lagi 970 gram sahaja. Keringanan ini hasil penggunaan aloi magnesium-lithium yang sangat ringan pada badannya, serta aloi magnesium-aluminium yang amat teguh di bahagian dalam.

Kehebatan luarannya muncul seiring dengan keperkasaan dalamannya. Acer melengkapkan Swift 5 ini dengan pemproses terbaru Intel Core-i generasi ke-8, bersama 8GB RAM DD4 serta storan SSD seluas 256GB.

Swift 5 memiliki skrin IPS HD Penuh berukuran 14-inci, dengan kebolehan sentuhan pelbagai titik. Baterinya mempunyai jangka hayar sehingga 8 jam dengan sekali cas penuh, agak mencukupi untuk tugasan seharian tanpa perlu membawa pengecas.

Produktiviti amat sinonim dengan Swift 5 kerana ia memiliki papan kekunci berlampu, memudahkan tugasan di persekitaran malap. Port sambungan juga mencukupi, dengan adanya USB-A 3.0, USB-C, HDMI dan audio 3.5mm.

Selain itu, pengimbas capjari dibina bersama untuk fungsi keselamatan yang serasi dengan Windows Hello.

Laptop Acer Swift 5 datang dengan warna biru sahaja. Terdapat dua model Swift 5 dengan perbezaan pada pemproses sahaja. Untuk model Core i5-8250U, ia dijual pada harga RM3,799. Manakala model Core i7-8550U pula berharga RM4,599.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari Facebook Acer Malaysia atau menghubungi talian Infoline Acer di nombor 1-800-88-1288 (9am-6pm, Isnin hingga Jumaat).

BACA  Honor pengeluar pertama perkenal skrin berlubang dan kamera 48MP