Kemaskini iOS segera sebelum karakter ini jahanamkan iPhone anda

Beberapa hari lepas, bergegar dunia iPhone dibuatnya apabila dilaporkan terdapat satu karakter di dalam bahasa Telugu yang boleh merosakkan sistem operasi iOS. Nasib baik Apple mengambil langkah pantas untuk memperbaiki permasalahan itu melalui kemaskini iOS 11.2.6 yang dilepaskan hari ini.

Pepijat kritikal ini dilaporkan boleh mengkucar-kacirkan iPhone semudah menerima karakter bahasa Telugu tersebut dalam apa jua medium. Tidak kira melalui SMS, WhatsApp, Telegram, emel, malah dengan membuka Twitter dan melihat ke tweet tersebut.

Masalah ini dikatakan akan membuatkan aplikasi yang memaparkan karakter tersebut untuk rosak dan tersangkut di dalam boot-loop apabila cuba dilancarkan semula. Lebih teruk lagi, ia boleh merosakkan jua notifikasi jika terpapar di ruangan tersebut.

Masalah seperti ini bukan kali pertama buat iOS. Boleh dikatakan, hampir setiap bulan terdapat penemuan cara merosakkan sistem iOS dengan berkongsi perkataan atau karakter tertentu. Bulan lepas, pepijat Chai dilaporkan membawa masalah yang sama kepada iPhone.

Jadi, kemaskini segera iOS anda kepada versi 11.2.6 ini dengan segera. Ia boleh dilakukan dengan pergi ke iPhone Settings > General > Software Update dan tekan Download serta Install. Saiz fail hanya sebesar 41.5MB jadi tidak mengambil masa yang lama untuk dipasang.

Kemaskini seterusnya iOS 11.3 akan membawa beberapa perubahan besar seperti tambahan animoji baru serta kawalan penuh untuk prestasi disebabkan permasalahan bateri lama di iPhone.

BACA  Pocophone F1 paling kebal akan tiba minggu ini