Xperia XZ2 Adalah Televisyen HDR Bersaiz Poket

Setelah kebocoran demi kebocoran tentang flagship terbaru Sony, akhirnya ia selamat dipamerkan di pameran teknologi mudah alih terbesar dunia, MWC 2018. Ramai yang menantikan telefon ini kerana ia didakwa bakal mendukung lambang keberanian Sony mejadi lebih fleksibel dalam penghasilan produk.

Dua telefon yang diperkenalkan mereka pada kali ini iaitu:

  • Sony Xperia XZ2
  • Sony Xperia XZ2 Compact

Xperia XZ2

Ini adalah revolusi baru dalam siri Xperia kerana rekaan yang dibawakan Sony kini lebih segar dan lebih mengikuti trend. Badan melengkung pada bahagian belakang menyumbang pada tahap ergonomik yang tinggi. Kemasan kaca Corning Gorilla digunakan pada keseluruhan badan yang menjadikannya sebuah magnet cap jari.

Badannya yang kini langsing tidak memungkinkan pengimbas cap jari diletakkan di bahagian sisi telefon seperi XZ1. Ia dipindahkan ke bahagian belakang dihimpunkan bersama-sama modul kamera.

Kamera inilah yang menjadi faktor pengeras telefon ini. Pada XZs, ia boleh merakam video slow-mo sepantas 960fps tapi pada resolusi HD 720p, untuk model kali ini, Sony menambah baik ciri tersebut dan XZ2 kini boleh melakuan perkara yang sama tapi pada resolusi HD penuh.

Kemudian, motor getaran yang biasanya digunakan untuk memberitahu anda tentang notifikasi masuk, turut menerima pembaharuan. Ia kini lebih besar dan dimanfaatkan untuk memberikan pengalaman audio yang lebih masyuk. Semasa mendengar audio, telefon akan bergerak balas terhadap bunyi muzik yang sedang dimainkan.

Oh ya, telefon ini juga adalah yang pertama di dunia mampu merakam video 4K HDR. Hal ini bermakna, video yang lebih menawan boleh dirakam.

Pada bahagian muka, ia dihiasi panel paparan 5.7″ HD+ Penuh HDR. Terdapat teknologi HDR disuntik pada paparannya. Kandungan bukan HDR akan diubah menjadi HDR secara automatik, sama seperti yang diamalkan set-set TV sekarang.

BACA  Trikamera Mate 20 Pro Miliki Zum Optikal Terpanjang Dalam Sejarah Huawei

Untuk spesifikasi teknikal, anda boleh menemui komponen-komponen flagship 2018 pada XZ2 seperti:

  • Snapdragon 845
  • RAM 4GB
  • Storan 64GB
  • Bateri 3180mAh

Xperia XZ2 Compact

Kalau XZ2 unik fizikalnya, XZ2 Compact lagilah unik. Badannya rasa lebih melengkung pada bahagian belakang dan memeberikan rasa memegang yang lebih selesa ditambah lagi dengan kemasa matte yang diberikan padanya.

Memiliki panel 18:9 HD+ Penuh sebesar 5″ bermakna kurangnya ruang untuk meletakkan pengimbas cap jari pada bahagian depan. Seperti abang besarnya, ia diletakkan di belakang.

Kamera pada XZ2 Compact adalah yang sama boleh ditemui pada XZ2, malahan, spesifikasi teknikalnya juga dikongsi bersama.

Hal ini bermakna, anda mendapat sebuah telefon ber-Snapdragon 845, RAM 4GB dan storan 64GB dalam pakej yang nyata kompak.

Bezanya versi kompak berbanding yang standard adalah ketiadaan pengecasan pantas dan mekanisme gegaran yang ditambah baik itu. Bateri juga lebih kecil iaitu 2,870mAh.

Kedua-dua telefon akan mula dijual bermula bulan depan pada harga GBP 549 (RM 3,011) untuk XZ2 Compact dan GBP 699 (RM 3,835 ) untuk XZ2.