Fujifilm X-H1 Dah Memasuki Malaysia Dan Kami Sempat Menggodeknya

Pada pertengahan Februari 2018 yang lalu, Fujifilm ada mengumumkan sebuah kamera baru dalam siri X iaitu X-H1. Ia adalah kamera paling canggih pernah dihasilkan mereka dan lebih ditujukan pada golongan juruvideo tapi masih boleh digunakan oleh jurugambar kalau mahu.

Terbaru, Fujifilm Malaysia telah mempamerkan kamera itu di tanah air kita dan akan mula dijual. Saya sempat menyentuh dan mencuba kehebatan flagship terbaru daripada Fujifilm ini.

Sejurus mengangkat kamera ini, saya agak terkejut dengan rasa jisimnya. Tidak padan dengan rupanya, beratnya terasa hampir menyamai kamera kompak yang saya gunakan sekarang sungguhpun saya mengenakan lensa 50mm F2 padanya.

Terdapat dua kelainan yang dibawakan pada X-H1 jika dibandingkan dengan dua lagi kamera premium Fujifilm seperti X-T2 dan X-Pro2. Contohnya, anda pasti tidak akan terlepas pandang pada skrin sekunder yang menghadap. Ia adalah skrin monokrom yang memaparkan tetapan kamera.

Ciri ini adalah yang pertama pada siri X dan kebanyakannya hanya ditemui pada kamera DSLR yang lebih besar. Dengan adanya skrin mini, anda tak perlu melihat pada paparan LCD untuk mengubah tetapan kerana semuanya boleh dilihat terus pada skrin mini.

Ia adalah sesuatu yang amat baik kerana ia saling melengkapi satu ciri ikonik pada Fujifilm iaitu kehadiran pelbagai tombol dan dail yang boleh dipulas untuk mengubah tetapan.

Kontur grip pada X-H1 lebih nyata dan selesa digenggam. Hal ini penting kerana jika lensa yang lebih panjang dan berat digunakan, ia tidak membebankan pergelangan tangan. Kamera mirrorless lain yang lebih kecil sering menghadapi masalah ini kerana mereka tiada grip yang selesa.

Beralih kita pada perkara-perkara teknikal, Fujifilm memaklumkan yang badan kamera ini ditempa daripada aloi magnesium 25% lebih tebal berbanding X-T2. Tambahan pula, bahagian kaki lensa dibina lebih kukuh bagi menampung lensa sehingga 2 kg beratnya.

BACA  Kamera iPhone XS, melawan iPhone X, Galaxy Note9 dan P20 Pro

Pada bahagian sensor, ia diperkasa X-Trans III 24MP bersaiz APS-C. Sensor ini dibegang oleh satu set mekanisme penstabil imej dalam badan (IBIS), yang pertama seumpamanya pada siri Fujifilm X. Ia memberikan sehingga 5.5 tahap kestabilan pada pengguna.

Untuk merakam video, ciri-ciri yang akan menarik perhatian pembangun kandungan diluar sana adalah seperti:

  • 4K (4096 x 2160) sehingga 24 fps
  • 4K (3840 x 2160) sehingga 30 fps
  • 1080p sehingga 120 fps
  • 720p sehingga 60 fps
  • 2 slot kad SD
  • Ada port untuk mikrofon

Simulasi filem analog adalah kemegahan Fujifilm. Pada X-H1, mereka kini menyediakan sehingga 16 gabungan simulasi filem dengan penyertaan terbaru iaitu Eterna.

Ada dua aduan yang ingin saya ketengahkan pada kamera ini. Yang pertama adalah penggunaan bateri  NP-W126S. Dengan kapasiti hanya 1,211 mAh, pada pandangan saya ia adalah kecil berbanding bateri pada Panasonic GH5 yang berkapasiti 1860mAh. Juruvideo pastinya memerlukan kuasa bateri yang banyak ketika bekerja.

Butang pengatup yang lembik dan terlalu mudah diuja. Butang pengatup pada siri X yang lain lebih tegap dan berikan pengalaman mengambil gambar yang lebih baik.

Fujifilm X-H1 dijual pada harga RM7,988 (badan sahaja) ataupun dengan kombo grip bateri pada harga RM9,188.