Fitbit Versa jam pintar lebih mampu milik

Sebulan selepas diperkenalkan ke khalayak ramai, Fitbit Versa hari ini dilancarkan di Malaysia. Ia merupakan jam pintar kedua dari Fitbit, selepas Ionic.

Versa dihasilkan untuk capaian lebih ramai pengguna, pada harga lebih rendah tetapi fungsi utama yang sama hebat dengan Ionic.

Perbezaan utama ialah pada GPS. Ionic memiliki GPS terbina di dalam, manakala Versa perlu bersambung ke telefon pintar untuk menggunakan fungsi GPS.

Versa direka lebih ringan agar selesa dipakai. Ia boleh digunakan ketika berenang dengan keupayaan kalis air sehingga 50 meter dalam. Hayat baterinya juga seperti kebanyakan jam Fitbit lain, sekitar 4 hari dengan sekali cas penuh.

Ciri baru paling ketara pada Fitbit OS 2.0 adalah pengenalan Female Health Tracking, atau pemantau kesihatan wanita. Ia membantu wanita memahami kitaran haid mereka dan memadankan dengan tahap kesihatan. Fungsi ini akan dikemaskini ke dalam Versa dan Ionic sekitar bulan Mei depan.

Lain-lain ciri biasa pemantau kecergasan ada di Versa seperti pengesan degupan jantung PurePulse 24/7, pemantau waktu tidur, mengira langkah serta kalori dan jurulatih peribadi Fitbit Coach.

Sebagai peranti pintar pula, Versa boleh menjadi pemain lagu dan bersambung ke fon kepala Bluetooth, membalas mesej, dan memasang pelbagai aplikasi.

Jam pintar Fitbit Versa juga membenarkan aplikasi pihak ketiga di pasang ke dalamnya. Muka jam boleh diubahsuai mengikut kegemaran, serta boleh dicipta sendiri jika berminat menggunakan Fitbit Online Simulator.

Dengan storan terbina di dalam, Versa boleh menyimpan sehingga 300 lagu menerusi platform Deezer. Lagu ini boleh didengari apabila Versa dipadankan bersama fon kepala Bluetooth, tanpa perlukan telefon pintar.

Fitbit Versa akan dijual di Malaysia pada harga RM990 untuk warna Hitam, Perak dan Emas Ros. Terdapat juga Fitbit Versa Edisi Khas berharga RM1,120. Pelbagai aksesori seperti tali akan dijual dari RM130 ke RM420.

BACA  Jam Tangan Pertama Dengan Wear OS Dihasilkan Casio

Fitbit Versa boleh dibeli dari pengedar seperti All IT Hypermarket, AONE Plus, Best Denki, Harvey Norman, Timekeeper, Thunder Match Technology dan Lazada.

Maklumat lanjut boleh di dapati di laman produk Fitbit Versa.