Xiaomi Mi 8 dah diimport masuk ke Malaysia

Xiaomi baru melancarkan telefon flagship terbaru mereka, Mi 8 dengan ciri-ciri terkini seperti dwi-GPS dan skrin bertakuk di dahi. Kini Mi 8 boleh dibeli di Malaysia, dibawa masuk dalam bentuk set import.

Set import Mi 8 kini telah mula dijual oleh Mobile 2 Go. Terdapat dua model yang dibawa mereka iaitu model 6GB RAM + 64GB storan berharga RM2,199 dan model 6GB RAM + 128GB storan berharga RM2,499. Hanya warna Hitam dan Putih disediakan.

Xiaomi 8 [Anniversary Smartphone]
📢 Available TODAY! 📢

⚡[64GB ROM + 6GB RAM] @ RM2199
⚡[128GB ROM + 6GB RAM] @…

Posted by Mobile 2 Go on Thursday, June 7, 2018

Semasa pelancarannya awal bulan ini, Xiaomi memperkenalkan tiga model Mi 8. Model yang dijual oleh Mobile 2 Go adalah versi biasa yang tidak memiliki rekaan kaca lutcahaya di belakang, pengecaman wajah 3D dan pengimbas cap jari di atas skrin.

Spesifikasi biasa pada Mi 8 adalah seperti skrin 18.7:9 berukuran 6.2-inci Super AMOLED dengan resolusi FHD+. Kuasa dalamannya menggunakan pemproses terbaik masakini, Snapdragon 845.

Kamera Mi 8 serupa seperti Mi MIX 2s, iaitu gabungan sensor 12MP F1.8 dengan OIS serta sensor 12MP F2.4 dengan fungsi zum optikal dan efek bokeh. Bagi kamera hadapan pula ia menggunakan sensor 20MP F2.0 dengan pelbagai teknologi kecantikan wajah.

Bateri 3,400mAh dimuatkan di dalam Mi 8 dan ia menyokong pengecasan pantas QuickCharge 4+ melalui USB-C. Malangnya, Mi 8 tidak lagi memiliki port audio 3.5mm serta tiada slot kad mikroSD untuk storan tambahan.

Jika berminat, anda boleh melawat laman web Mobile2Go untuk mendapatkan set import Mi 8 ini. Tetapi apakah pilihan yang lebih baik untuk anda, set rasmi Malaysia Mi MIX 2S berharga RM1,999 atau set import Mi 8 berharga RM2,199 ini?

[Sumber: SoyaCincau]