GrabPay peserta terbaru e-dompet dan pembayaran nirtunai di Malaysia

Aplikasi e-dompet seharusnya tidak asing lagi buat masayarakat digital terutama di bandar. Grab yang terkenal dengan servis khidmat pengangkutan hari ini secara rasminya melancarkan e-dompet mereka, GrabPay.

Jika sebelum ini pengguna Grab mempunyai pilihan membuat bayaran antara tunai dan kad debit/kredit sahaja, kini mereka boleh melakukannya menggunakan e-dompet. Apa bezanya?

Dengan GrabPay, pengguna boleh menambah kredit ke dalam e-dompet mereka menggunakan kad debit/kredit, perbankan dalam talian ataupun di kedai seperti 7-Eleven. Tidak lagi terhad kepada kad sahaja. Dari e-dompet ini, pembayaran boleh dibuat dengan pantas dan kali ini tidak lagi terhad kepada servis pengangkutan GrabCar.

Ini kerana GrabPay kini diluaskan penggunaannya di kedai, restoran dan macam-macam lagi. Penggunaannya juga mudah, lancarkan aplikasi Grab, imbas kod QR GrabPay di kedai tersebut dan buat bayaran. Pastikan cukup kredit dalam e-dompet dulu.

GrabPay kini telah diterima di lebih 800 perniagaan, kedai dan restoran di 8 bandaraya di Malaysia. Antaranya ialah Tealive, Teowchew Chendul, KGB Burgers, Bakeri Tedboy, China House, Burps & Giggles, Kopi Ping, big Bowl Ice dan Coffee Gallery. Malah, perkhidmatan tren KLIA Ekspress turut menerima pembayaran GrabPay.

Satu lagi servis yang terdapat di dalam kebanyakan e-dompet adalah penghantaran wang. Sama juga di GrabPay, pengguna boleh menghantar wang secara terus sesama pengguna GrabPay. Cara ini membolehkan ibubapa menghantar wang kepada anak-anaka, atau rakan kepada rakan yang lain.

Servis e-dompet Grabpay diintegrasikan ke dalam aplikasi Grab Car, jadi tidak perlu memuat turun aplikasi lain dan tidak perlukan pendaftaran baru. Bagaimanapun, ia memerlukan pengesahan identiti mengikut peraturan Bank Negara Malaysia.

Grab turut menyediakan ganjaran kepada pengguna GrabPay melalui GrabRewards. Pengguna yang membuat bayaran menggunakan GrabPay akan menerima mata GrabRewards yang kemudiannya boleh diturkarkan kepada pelbagai barangan di dalam katalog GrabRewards.

BACA  Diskaun untuk pelbagai model iPhone di Switch sempena Black Friday

Maklumat lanjut tentang e-dompet baru ini boleh didapati di laman GrabPay Malaysia.