Senheng bagi TV LED 40″ percuma kalau beli Galaxy Note9

Samsung Malaysia hari ini mengumumkan kempen diskaun RM400 untuk pembelian semua model Galaxy Note9. Tetapi jika anda mencari tawaran lain, cuba semak kempen Madness Bundle Deal dari Senheng ini.

Senheng tidak memberi diskaun, sebaliknya mereka menawarkan hadiah percuma berupa TV LED Samsung 40-inci bernilai RM,1659, jika membeli telefon pintar Galaxy Note9. Tetapi tawaran ini hanya sah untuk pembelian Galaxy Note9 512GB berwarna Hitam atau Biru sahaja. Warna lain dan model 128GB tak ada hadiah percuma.

Kempen Senheng Madness Bundle Deal ini berjalan dari 4-14 Oktober 2018. Pembeli yang berminat, perlu membuat tempahan menerusi Stor Online Senheng. Tempahan boleh dibuat samada dengan membayar deposit RM300, atau terus membuat bayaran penuh. Bayaran ini tidak akan dipulangkan.

Tempahan ini boleh mula diambil pada 19 Oktober 2018. Jika bayaran penuh dibuat, pembeli boleh memilih untuk penghantaran dibuat ke lokasi pilihan. Jika membayar deposit, pembeli perlu ke stor Senheng yang dipilih kemudian membuat bayaran untuk baki. Seperkara lagi, jika pembeli adalah ahli Senheng PlusOne, pembeli akan menerima jaminan tambahan tahun ke-2 dari Senheng.

TV yang diberikan percuma ini adalah TV LED Samsung 40-inci N5000 dengan resolusi HD Penuh. Ia bukanlah TV pintar, maka tiada aplikasi terbina seperti YouTube dan Netflix di dalam TV. Bagaimanapun, ia memiliki port USB yang menerima storan luar USB untuk memainkan video dan gambar. Maklumat lanjut tentang TV ini boleh dirujuk di laman Samsung Malaysia.

Jika anda ingin membeli Galaxy Note9 512GB dan juga mahu memiliki TV, sudah pasti tawaran dari Senheng ini lebih menarik. Ini kerana nilai TV ini lebih tinggi dari diskaun RM400 yang ditawarkan Samsung Malaysia. Maklumat lanjut tentang tawaran ini boleh disemak di laman Senheng Madness Bundle Deal.

BACA  Galaxy J4+ dan Galaxy J6+ ahli baru telefon mampu milik Samsung

Tetapi jika anda tidak memerlukan TV baru atau mahu membeli Galaxy Note9 128GB, maka lebih baik anda pergi ke mana-mana Stor Samsung Malaysia dan dapatkan diskaun RM400 apabila membeli telefon pintar Galaxy Note9.

Galaxy Note9 yang baru kini tampil dengan S Pen yang jauh lebih berkuasa. S Pen kini boleh menjadi alat kawalan jauh, untuk digunakan seperti mengambil gambar, mengawal slaid, menonton video dan banyak lagi.

Prestasinya sudah pasti yang terbaik. Ia dikuasakan cip Exynos 9810, dengan pilihan RAM 6GB dan storan 128GB, atau RAM 8GB dan storan 512GB. Skrinnya berukuran 6.4-inci dengan resolusi QuadHD+, menggunakan paparan Super AMOLED Infinity Display, tanpa takuk.

Ia didatangkan dengan dwi-kamera belakang 12MP, berkuasa dwi-apertur (F1.5 & F2.4) dan berkeupayaan 2x zum optikal. Bateri 4,000mAh dimuatkan di dalamnya yang boleh dicas pantas melalui USB-C serta menyokong pengecasan wayarles. Ia juga kalis air dan debu IP68.