Fujifilm X-T3 Tiba Di Malaysia Dengan Ciri-Ciri Menarik Untuk Videographer

Selepas Nikon Z dan Canon EOS R, Fujifilm tidak mahu terlepas peluang untuk menyusup dalam kalangan kamera mirrorless baru tahun 2018 apabila memperkenalkan X-T3 untuk pasaran Malaysia. Merujuk pada spesifikasi, ia menerima pelbagai penambahbaikan pada fungsi rakaman video dan kini boleh diletakkan sebaris dengan nama-nama seperti Canon EOS R, Lumix GH5S, Z6, dan A7III.

Daripada segi fizikaliti, ia masih kekalkan rupa kamera gaya DSLR dengan taburan butang dan tombol disekeliling badannya. Berikut adalah spesifikasi teknikal asas X-T3:

  • Sensor APS-C 26MP
  • Pemproses imej X-Trans 4
  • Menggunakan kaki lensa Fujifilm X
  • Ada 2 slot SD
  • Tiada penstabil imej dalam badan (IBIS)
  • Tangkapan selanjar sepantas 30 fps menggunakan pengatup elektronik ataupun 11 fps menggunakan pengatup mekanikal
  • Rakaman video sehingga 4K pada 60fps ataupun sehingga 120fps pada resolusi 1080p.
  • Untuk ketersambungan, ia ada Wi-Fi, USB-C, HDMI, Bluetooth, 2 port 3.5mm untuk mikrofon dan pemantauan audio.
  • Bateri dengan kapasiti 1,260mAh

Tolak tepi dulu spesifikasi asas kamera, watak utama pada X-T3 adalah pada kemampuan videografinya. Satu ketika dulu, Fujifilm hadir dengan X-H1 bersama-sama lensa yang dikhaskan untuk video dan X-T3 ini miliki kompetensi yang hampir setara dengan X-H1, cuma X-H1 lebih utuh.

Untuk videographer, berita baik daripada Fujifilm untuk golongan seperti anda adalah seperti kehadiran dua port 3.5mm yang diguna untuk memasukkan mikrofon dan juga memantau kualiti audio yang dirakam kamera.

Kemudian, anda boleh merakam video 4K pada kadar bingkai setinggi 60, menggunakan fungsi F-Log pada kadar 10-bit terus daripada kamera. Ia memberikan ruang kreatif lebih luas pada fasa pascapenerbitan.

Lagi berita baik daripada kamera ini adalah tiada crop semasa merakam video 4K 24fps. Tetapi pada 60fps, crop berlaku sebanyak 13% untuk mengekalkan prestasi autofokus dan juga mengelakkan daripada rolling shutter dairpada berlaku.

BACA  OPPO F7 & Find X terkeluar dari benchmark 3DMark kerana markah diragui

Namun, tiada penstabil imej terbina pada badan kamera ini. Maka anda perlu bergantung pada OIS pada lensa ataupun gimbal pihak ketiga.

Jika anda ingin memiliki sebuah X-T3, ia dijual pada harga RM 7,388 untuk badan sahaja ataupun RM 8,399 untuk badan bersama kit lens.

Layari laman rasmi produk untuk maklumat lanjut.