[Reviu] Ulasan Awal iPhone XR, kurang berbaloi tapi paling murah untuk kelasnya

Sebulan selepas dilancarkan, tiga model terbaru iPhone akan tiba di Malaysia. Salah satunya ialah iPhone XR, di mana Malaysia adalah antara negara terawal menerimanya. Sekotak iPhone XR berwarna hitam telah tiba di meja kami. Sebagai permulaan, saya ingin berkongsi pendapat awal saya tentang iPhone XR.

iPhone XR adalah salah satu dari 3 iPhone yang baru dilancarkan bulan lepas, di samping iPhone XS dan iPhone XS Max. Ia juga adalah yang termurah dari ketiga-tiga model baru ini.

Harga iPhone XR di Malaysia ditetapkan pada RM3,599 untuk storan 64GB, RM3,849 bagi storan 128GB dan RM4,299 bagi storan 256GB. Ia masih lebih murah dari iPhone X yang kini disenaraikan oleh Machines dan Switch, pada harga RM4,299 bagi storan 64GB dan RM4,999 bagi storan 256GB.

Pendek kata, iPhone XR adalah pilihan paling murah untuk mencuba platform serba baru iPhone X, selepas Apple berhijrah dari platform iPhone 6 yang digunakan sehingga ke iPhone 8.

Dengan perbezaan harga yang agak ketara sebanyak RM1,400 antara iPhone XR dan iPhone XS, ini bermakna banyak pengorbanan perlu dibuat.

Kekurangan terbesar, Skrin

Bermula dengan saiz paparan. Walaupun iPhone XR memiliki skrin lebih besar 6.1-inci, resolusinya lebih rendah dari iPhone XS. 458 ppi di iPhone XS berbanding 326 ppi di iPhone XR. Walaupun tidak ketara, perbezaan ini boleh dilihat dengan teliti bila lama memandang skrin. Ini menjadikan iPhone XR seperti ketinggalan zaman kerana menggunakan resolusi rendah di telefon premium.

Atas: iPhone XS, Bawah: iPhone XR

iPhone XR juga menggunakan paparan jenis Liquid Retina HD, atau lebih dikenali sebagai LCD. Skrin iPhone XR dilihat lebih kuning berbanding paparan OLED di iPhone XS. Warnanya juga nampak tidak segarang OLED. Tetapi skrin ini masih boleh dilihat dengan baik di bawah terik cahaya matahari.

Satu lagi kekurangan pada skrin iPhone XR ialah ketiadaan 3D Touch. Fungsi ini membolehkan pengguna mengeluarkan menu tambahan dengan menekan ikon aplikasi dengan lebih kuat. Ia telah ada sejak iPhone 6s sehingga iPhone 8, dan kekal di iPhone X serta iPhone XS. Mengapa dibuang di iPhone XR? Untuk pengguna tegar iPhone, ketiadaan 3D Touch ibarat kehilangan sebelah kaki.

BACA  Apple makin agresif buat cip sendiri, buka pejabat di tepi Qualcomm

Tetapi dengan skrin yang besar, bermakna bateri lebih besar boleh dimuatkan. Apple sendiri menyatakan, jangka hayat bateri di iPhone XR, adalah lebih lama dari iPhone 8 Plus dan juga iPhone XS Max.

Kamera tak banyak yang hilang

Kemudian di bahagian kamera. iPhone XR hanya ada satu lensa kamera belakang 12MP F1.8, berbanding iPhone X dan XS yang ada dwi-lensa kamera belakang, di mana lensa kedua berkeupayaan telefoto untuk memberikan efek 2x zum optikal. Hanya ini sahaja kehilangan ketara.

Kiri: iPhone XR, Kanan: iPhone XS

Lain-lain fungsi baru di kamera iPhone XS, juga ada di iPhone XR. Seperti mod potret dengan Bokeh canggih dan kawalan tahap kedalaman. Anda  boleh mengubah tahap kekaburan latar selepas gambar diambil. Ia turut memiliki penstabil imej optikal. Pendek kata, kualiti gambar iPhone XR tidak jauh berbeza dengan iPhone XS, kecuali bila mahu dizum.

Begitu juga dengan kamera hadapan. iPhone XR kali ini memiliki kamera yang sama dengan iPhone XS, TruDepth Camera 7MP F2.2 dengan kuasa Smart HDR. Gambar swafoto yang diambil kelihatan ceria bertenaga.

Tetapi ia agak gagal untuk memisahkan bahagian muka dan latar, dapat dilihat dari contoh swafoto ini, rambut dan baju dikaburkan bersama latar. Beberapa gambar diambil, masih memberikan hasil yang sama.

iPhone XR vs iPhone XS: tak banyak beza

Dari segi binaan, iPhone XR memiliki rasa premium yang sama seperti iPhone X. Bingkai besi dengan kaca di belakang. Sekurang-kurangnya dapat dirasakan ia adalah sebuah peranti premium dari luaran.

Keupayaan mengecas wayarles dan kalis air dan debu IP67 adalah fungsi yang sangat dialu-alukan. Malah ia adalah fungsi wajib ada untuk peranti flagship masakini. Ini satu lagi perkara yang membenarkan iPhone XR berada di kelas premium.

BACA  Jangan Salahkan Unifi, Anda Mungkin Punca Internet Perlahan

Kiri: iPhone XR, Kanan: iPhone XS

Satu perkara yang agak mengecewakan ialah bila Apple tidak lagi menyertakan adaptor lightning ke audio 3.5mm di dalam kotak iPhone XR. Jika mahu dibeli, harganya ialah RM49. Mengapa Apple kedekut sangat nak bagi?

Sistem bunyi iPhone XR agak bagus, sebaik iPhone X. Bunyinya lantang dan stereo, menerusi pembesar suara di bawah telefon dan pembesar suara panggilan di atas skrin. Walaupun bunyi stereo ini agak tidak seimbang, ia tidak jauh berbeza. Masih lebih seimbang berbanding Galaxy Note9.

Masih awal untuk bercerita tentang jangka hayat bateri. Tetapi agak pelik dengan keputusan Apple yang masih memberikan pengecas 5W untuk iPhone XR. Telefon Android berharga RM500 pun sudah lama datang dengan pengecas 10W.

Berbaloi beli iPhone XR?

Akhir sekali ialah harga iPhone XR. Sekali lagi, jika anda pengguna iPhone X, adalah tidak wajar sama sekali bertukar ke iPhone XR. Melainkan fungsi mengubah kekaburan latar selepas gambar diambil adalah wajib anda miliki, perkara lain di iPhone XR adalah turun taraf buat pengguna iPhone X.

iPhone XR adalah naik taraf terbaik ke platform iPhone X jika anda datang dari iPhone 7 ke bawah. Anda akan menerima kamera TruDepth untuk Face ID, Animoji dan Memoji. Ia turut memiliki pengecasan wayarles dan kalis air IP67. Lagi menarik, iPhone XR ada 6 warna untuk dipilih: Merah, Kuning, Putih, Coral, Hitam dan Biru.

Untuk pengguna iPhone 8 dan 8 Plus, agak sukar untuk disyorkan iPhone XR. Ia hanya kekurangan kamera TruDepth tetapi tidak banyak perbezaan di perkara lain. Malah iPhone 8 Plus memiliki dwi-kamera belakang untuk tangkapan bokeh yang lebih lazat.

BACA  MacBook Air 2018: Ultrabook Dengan Storan Ultrabesar

Untuk pengguna yang mahu mencuba iPhone pula, adakah berbaloi untuk membelanjakan RM3,599 bagi iPhone XR? Melainkan anda memiliki ekosistem Apple lain seperti iPad dan Macbook, masih tidak berbaloi untuk berbelanja sebanyak itu bagi sebuah telefon pintar.

Walaupun banyak ciri premium, iPhone XR dilihat kehilangan status flagship kerana resolusi skrin yang rendah. Nak kata kamera tunggal di belakang pun bukan peranti flagship, Pixel 3 pun masih lagi dengan satu kamera.

Huawei Mate 20 Pro mengecas iPhone XS secara wayarles

Ada banyak lagi pilihan peranti Android lain yang memiliki lebih banyak fungsi dengan prestasi jauh lebih tinggi, seperti Huawei Mate 20 Pro dengan kuasa tiga kamera Leica serta pengecas wayarles keluar, atau Galaxy Note9 dengan S-Pen Bluetooth yang sangat berguna. Untuk kaki gaming, ASUS ROG Phone turut berada dalam julat harga yang sama. Semua telefon Android ini berharga sekitar RM3500 dan memiliki storan dalaman 128GB.

Jika mati-mati pun anda kena pakai iPhone dengan bajet serendah mungkin, maka iPhone XR memang pilihan terbaik. Selain skrin resolusi rendah, tiada 3D Touch dan kamera tunggal, tidak banyak yang berbeza dari iPhone XS. Kuasa dalamannya masih digerakkan cip A12 Bionic terbaru.

Cuma, kalau anda mahu menggunakan iPhone XR untuk jangka masa panjang, mungkin 3-4 tahun, lebih baik terus melabur dengan storan besar. Tambah RM250 untuk storan berganda 128GB atau tambah RM700 untuk storan 4x ganda 256GB.

iPhone XR akan mula dijual di Malaysia pada hari Jumaat ini, 26 Oktober 2018 dari semua pengedar sah Apple serta syarikat telekomunikasi. Untuk maklumat lanjut, layari laman web Apple XR Malaysia.