Apple akan kembali hasilkan iPhone X sebab iPhone XS kurang terjual

Selepas tiga serangkai iPhone dilancarkan baru-baru ini iaitu iPhone XS, iPhone XS Max dan iPhone XR, Apple telah memberhentikan penghasilan model tahun lepas mereka, iPhone X. Tetapi Apple mungkin akan mengubah perancangannya.

Beberapa laporan menyatakan jualan iPhone sangat perlahan dari yang dijangkakan, sehingga memaksa Apple mengurangkan penghasilan telefon pintar mereka. Tetapi mereka masih memiliki kontrak perjanjian yang perlu ditunaikan.

WSJ melaporkan, Apple dikatakan masih belum memenuhi tempahan minima panel OLED mereka dengan Samsung Display, dan ia mungkin akan diselesaikan dengan menghasilkan semula iPhone X. Langkah ini mungkin lebih sesuai memandangkan iPhone X masih model yang popular, apatah lagi dengan diskaun selepas keluarnya model lebih baharu.

Sebenarnya ini bukanlah kali pertama Apple menghasilkan semula model lama iPhone. Contohnya iPhone 6, ia telah dihasilkan semula dengan storan digandakan dari 16GB kepada 32GB. Ini terjadi kerana dikhabarkan jualan iPhone SE ketika itu tidak mencapai sasaran disebabkan pengguna lebih berminat dengan skrin lebih besar.

Dalam laporan yang sama, WSJ turut menyatakan Apple mungkin akan memotong harga iphone XR di Jepun. Ini kerana pasaran Jepun lebih meminati model iPhone 8 dan iPhone 8 Plus berbanding iPhone XR, yang memiliki harga yang hampir sama.

Apple dari semasa ke semasa, ada memberikan diskaun untuk beberapa produk mereka. Di Malaysia sendiri awal tahun ini, iPhone 8 dijual dengan diskaun RM1,000. Manakala iPhone X 256GB pula ditawarkan pada harga iPhone X 64GB.

Buat masa ini, stok lama iPhone X masih boleh dibeli di beberapa pengedar sah Apple seperti Machines dan Switch, dengan harga RM4,299 (64GB) dan RM4,999 (256GB). Adakah Apple akan menjual stok baru iPhone X pada harga lebih rendah? Berapakah harga yang anda rasakan sesuai?

BACA  Semua iPhone dan iPad boleh diceroboh dengan perkakas bernilai USD100

Mungkinkah jualan Apple terjejas kerana komen yang kami berikan, tentang iPhone XS dan iPhone XR?

[Sumber: WSJ, 9to5mac]