Yes lancar pelan pascabayar tanpa had dari serendah RM46 sebulan

Tahun lepas, YES ada melancarkan pelan Konfem Unlimited untuk pengguna prabayar. Kini, mereka melancarkan pelan yang hampir serupa untuk pengguna pascabayar, dari serendah RM46 sebulan.

Terdapat tiga jenis pelan pascabyar tanpa had ini. Kesemuanya datang bersama minit panggilan dan sekatan kelajuan yang berbeza. Kekurangan pelan tanpa had ini ialah, datanya tidak boleh dikongsi secara hotspot WiFi.

Paling murah ialah pelan Konfem Unlimited 49 berharga RM49/bulan. Ia memberikan kuota internet tanpa had, dengan kelajuan disekat ke 5Mbps. Minit panggilan pula disertakan sebanyak 100 minit ke semua talian.

Seterusnya ialah pelan Konfem Unlimited 79. Internet tanpa had padanya disekat kelajuan ke 7Mbps dan menerima 200 minit panggilan.

Untuk kelajuan tanpa sekatan, ia boleh dinikmati dengan melanggan pelan Konfem Unlimited 99. Pelan ini turut memiliki panggilan percuma sebanyak 300 minit.

Pelan Konfem Unlimited 49 dan 79 boleh menerima kelajuan tanpa sekatan sementara, dengan melanggan pas add-on Konfem Turbo. Dengan tambahan Konfem Turbo Daily berharga RM5, pengguna boleh menikmati kelajuan tanpa had selama 24 jam. Melanggan Konfem Turbo Weekly berharga RM20 pula, memberikan kelajuan tanpa had selama 7 hari.

Penggunaan tambahan panggilan dan SMS pula dikenakan caj 9sen/minit dan 9sen/SMS. Tetapi jika anda mahukan lebih banyak, ada juga pelan tambahan untuknya. Voice Pack 500 minit berharga RM10, manakala Voice Pack 1000 minit pula berharga RM20.

Pengguna boleh menikmati lebih keistimewaan jika mendaftar kontrak selama 12 bulan dengan mana-mana pelan Konfem Unlimited tadi. Semua pelan dengan kontrak akan disertakan panggilan dan SMS tanpa had sesama talian Yes 4G. Manakala diskaun RM3, diberikan untuk pelan Konfem Unlimited 49, menjadikan bayaran bulanan hanya RM46.

BACA  Tangkap gambar guna telefon Huawei untuk menang P30 Pro dan banyak hadiah lain

Dengan Konfem Unlimited 79 pula, diskaun diberikan sebanyak RM10 dengan kontrak 12 bulan. Jadi, hanya perlu bayar RM69 sebulan untuk pelan ini.

Bagi Konfem Unlimited 99 tanpa sekatan kelajuan, mendaftar kontrak 12 bulan tidak memberi sebarang diskaun, sebaliknya pelanggan menerima panggilan tanpa had ke semua talian.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web YES 4G.