fbpx

Realme 3 mahu tewaskan Redmi Note 7 dari segi harga dan spec

Hari ini, generasi ketiga telefon pintar Realme dilancarkan di India. Realme, jenama mampu milik di bawah Oppo memperkenalkan telefon pintar kelas pertengahan terbaru mereka, Realme 3 di India.

Walaupun bukan dari semua segi, Realme 3 cuba memperlihatkan diri mereka sebagai pilihan yang lebih baik Redmi Note 7 yang baru dilancarkan di India minggu lepas. Redmi Note 7 dilancar di India dalam dua model minggu lepas, Redmi Note 7 dan Redmi Note 7 Pro.

Realme 3 memiliki skrin berukuran 6.2-inci bertakuk kecil titisan air, dalam nisbah 19:9. Resolusi skrin ini hanya HD+ dan ia diselaputi kaca Corning Gorilla Glass 3.

Badan Realme 3 diperbuat dari materi unibodi, dengan kaca melengkung di sisi 3D dan kemasan warna gradien. Terdapat dua warna gradien ditawarkan iaitu Dynamic Black iaitu gabungan warna hitam dan ungu, serta Radiant Blue yang menggabungkan warna biru dan hijau. Terdapat juga warna Classic Black bagi yang mahukan warna hitam sepenuhnya.

Prestasi Realme 3 digerakkan oleh cip Mediatek Helio P70 12nm, dengan pilihan RAM 3GB dan storan 32GB, atau RAM 4GB dan storan 64GB. Ia memiliki tiga slot kad, dua untuk kad sim nano dan satu lagi untuk kad mikroSD untuk storan tambahan sehingga 256GB.

Untuk kamera, Realme 3 dilengkapi dua lensa di belakang iaitu lensa 13MP F1.8 dan lensa pengesan kedalaman 2MP. Kamera ini dilengkapi fungsi Nightscape yang membolehkan tangkapan waktu malam, lebih terang dan tajam. Ia dikatakan pertama seumpamanya dalam peranti dengan julat harganya.

Untuk kamera hadapan pula, ia menggunakan lensa 13MP F2.0 dan menyokong sistem pengecaman wajah bagi membuka kunci skrin. Pengimbas capjari fizikal terdapat di belakang badan Realme 3.

BACA  Broadcomm akan hilang USD2 bilion akibat sekatan Amerika terhadap Huawei

Bateri Realme 3 juga cukup besar dengan kapasiti 4,230mAh. Tetapi ia masih menggunakan sambungan mikroUSB untuk mengecas. Satu kekurangan berbanding Redmi Note 7 yang menggunakan USB-C dan menyokong pengecasan pantas Quick Charge 4. Nasib baik, Realme 3 masih memiliki jek audio 3.5mm.

Realme 3 datang dengan antaramuka ColorOS 6.0 berasaskan Android 9.0 Pie. Berita baik untuk kaki custom ROM, Realme 3 tidak dikunci bootloader-nya. Bermakna, anda boleh mengubah ROM Realme 3 kepada OS lain. Tetapi tanggung risikonya sendiri jika apa-apa terjadi nanti.

Realme 3 akan mula dijual di India pada 12 mac 2019, dengan harga yang lebih murah dari Redmi Note 7. Untuk kapasiti RAM dan storan yang sama, Realme 3 lebih murah INR1,000 (~RM57) dari Redmi Note7.

  • Realme 3 RAM 3GB + Storan 32GB – INR8,999 (~RM517)
  • Realme 3 RAM 4GB + Storan 64GB – INR10,999 (~RM632)

Bagaimanapun, ia hanya untuk 1 juta pembeli pertama. Tidak pula dinyatakan harga sebenar untuk pembeli seterusnya. Semoga harga begini akan dikekalkan apabila ia mula dijual di Malaysia kelak. Untuk perbandingan, harga Realme 2 di Malaysia sekarang ialah RM549 (3GB+32GB) dan RM659 (4GB/+64GB).

Maklumat lanjut tentang telefon baru ini boleh dirujuk di laman produk Realme 3 India.

Sebelum tamat majlis pelancaran, Realme turut menyatakan model Pro akan hadir pada bulan April dan ia adalah pesaing untuk Redmi Note 7. Bermakna, ia akan bersaing untuk menjadi telefon paling berbaloi dibeli di bawah RM1,000.

Bolehkah Realme 3 Pro mengulangi harga hebat Realme 2 Pro dengan RAM 8GB dan storan 128GB yang diperkenalkan dengan harga di bawah RM1,000?