Laptop Predator Triton 500 berkuasa grafik RTX 20 yang amat ringan

Mahukan laptop berkuasa grafik terkini tetapi ringan dan mudah dibawa berjalan? Acer hari ini melancarkan laptop Predator Triton 500 yang dikuasakan grafik NVIDIA GeForce siri RTX 20 di Malaysia.

Laptop yang berkuasa tinggi ini memiliki rekaan yang nipis dan sangat ringan berbanding kebanyakan laptop gaming biasa. Ketebalannya hanya 17.9mm dengan berat 2.1kg sahaja dalam casis besi sepenuhnya.

Predator Triton 500 memiliki skrin seluas 15.6-inci HD penuh, menggunakan paparan IPS. Skrin ini memiliki kadar segar semula sepantas 144Hz dengan masa respon 3ms. Laptop ini memiliki bingkai nipis dengan nisbah skrin-ke-badan setinggi 81%.

Kuasa pemproses laptop ini diperkasa oleh cip Intel Core i5-8300H atau Core i7-8750H, dengan grafik di antara RTX 2060 bersama VRAM GDDR6 6GB, atau RTX 2070 bersama VRAM GDDR6 8GB.

Hanya satu jenis RAM dan storan ditawarkan, dalam bentuk 2 keping RAM DDR4 8GB berjumlah 16GB, serta 2 keping SSD PCIe NVMe 256GB dalam RAID 0 menjadikannya seluas 512GB. Pengguna boleh menukar sendiri RAM dan storan dengan mudah jika perlu.

Sebagai laptop gaming, sistem penyejukan amat penting. Kipas Aeroblade 3D generasi ke-4 digunakan untuk menghasilkan 45% lebih aliran udara tetapi 35% lebih senyap berbanding dahulu. Sebanyak 59 bilah kipas 0.1mm dengan 5 paip haba dipasang di dalam untuk memberikan pengurusan haba yang baik untuk memaksimakan prestasi tanpa gangguan.

Menambah keseronakan memiliki laptop ini ialah papan kekunci berlampu RGB 3 zon yang boleh diubahsuai, serta kekunci WASD dan arah yang separa lutsinar. Satu butang khas Turbo terletak di atas, memacu prestasi tertinggi tanpa susah payah tetapan overclock dan optimasi, hanya dengan satu picit.

BACA  Mi 9 tiba di Malaysia April depan dengan harga di bawah RM2,000

Untuk sambungan rendah gangguan dan lengah semasa bermain game, Acer memasang alat kawalan Ethernet Killer E3000, Wifi Wireless-AC 1550 dan Killer Control Center 2.0. Ia juga menyokong paparan luar berbilang menerusi port HDMI 2.0, Mini DisplayPort dan USB-C Thunderbolt 3.

Kepada yang berminat, laptop Predator Triton 500 boleh dibeli sekarang dengan konfigurasi Intel Core i5, dan bulan hadapan dengan kuasa Intel Core i7. Harga jualan dan spesifikasinya adalah seperti berikut:

  1. Intel Core i5-8300H, NVIDIA GeForce RTX 2060, 16GB RAM (8GB x2), 512GB SSD (256GB x 2 RAID 0) = RM6,799
  2. Intel Core i7-8750H, NVIDIA GeForce RTX 2060, 16GB RAM (8GB x2), 512GB SSD (256GB x 2 RAID 0) = RM7,599
  3. Intel Core i7-8750H, NVIDIA GeForce RTX 2070, 16GB RAM (8GB x2), 512GB SSD (256GB x 2 RAID 0) = RM8,699

Pembelian laptop ini turut akan menerima hadiah percuma. Pembeli boleh memilih salah satu dari games Battlefield V, Anthem atau Metro Exodus, tetapi boleh ditebus selewat-lewatnya 4 April 2019 sahaja.