Maklumat Huawei P30 terbocor di laman web Huawei

Huawei akan melancarkan siri P30 di peringkat antarabangsa minggu depan, pada 26 Mac 2019. Mungkin sebab terlalu gembira dengan ketibaannya, Huawei Singapura secara sengaja atau tidak, telah memuat naik laman promosi siri P30.

Walaupun kini laman tersebut telah tiada, tetapi kami sempat menangkap beberapa maklumat yang terpapar di alam maya selama beberapa jam tadi.

Telefon terbaik dalam siri P30 ialah P30 Pro. Ia datang dengan teknologi ‘Super Sensing Leica Quad Camera‘ yang menggabungkan tiga kamera bersama sensor ToF. Kamera ini memiliki 10x zum hibrid untuk menangkap gambar objek yang jauh dengan lebih dekat.

Tiga kamera di Huawei P30 Pro ini ialah kamera utama 40MP dengan sensor SuperSpectrum, kamera bersudut ultra lebar dan kamera telefoto yang menggunakan lensa periskop. Lensa periskop ini kelihatan sama seperti teknologi kamera OPPO 10x zum lossless dan ia memiliki penstabil imej optikal (OIS). Sensor ToF pula membantu menangkap tahap kedalaman secara 3-Dimensi.

Dalam laman promosi tersebut, ia turut menyatakan siri P30 akan datang dengan rekaan kaca aurora yang menghasikan efek gradien pelbagai tona.

Tahun lepas, Huawei P20 Pro memiliki tahap ISO yang sangat tinggi, iaitu 102,400 menyamai apa yang ada pada kamera Canon 5D Mark IV. Di P30 Pro pula, tahap ISO ini dikatakan meningkat ke 409,600.

Laman promosi siri P30 ini turut menyatakan kameranya mampu merakam video dalam suasana malap dengan lebih cerah, serta fungsi baru Dual-View video mode yang membolehkan rakaman video dibuat dengan dua kamera belakang.

Maklumat paling penting pada laman promosi tersebut ialah tarikh jualan. Di Singapura, jualan hari pertama jatuh pada 6 April 2019 di Vivocity Mall. Pembeli di situ berpeluang menerima hadiah percuma berupa Huawei Watch GT Active dan pembesar suara Bluetooth JBL Clip 2, semuanya bernilai SGD467 (~RM1,402).

BACA  SoC Kirin Dalam Bahaya, ARM Berhenti Berurusan Dengan Huawei

Kami jangka Malaysia akan turut mula menjual siri P30 pada tarikh yang sama. Tetapi, tempahan awal pasti akan dibuka lebih awal, seawal hari selepas pelancarannya iaitu 27 Mac 2019.

Apakah spesifikasi sebenar siri P30? Walaupun masih tiada maklumat rasmi, pembocor berita bersiri Roland Quandt telah berkongsi maklumat yang beliau perolehi.

Huawei P30 Pro

Skrin P30 berukuran 6.1-inci OLED HD Penuh+, manakal P30 Pro pula 6.47-inci OLED. Kedua-duanya memiliki takuk kecil titisan air di atas, serta pengimbas capjari di dalam skrin.

Ia dikuasakan cip pemproses terbaru Kirin 980 bersama RAM 6GB untuk P30 dan 8GB untuk P30 Pro. P30 dikatakan datang dengan storan dalaman 128GB, manakala P30 Pro diberi pilihan antara 256GB dan 512GB.

Huawei P30

Kamera P30 menggandingkan tiga lensa di belakang iaitu lensa utama 40M F1.8, lensa ultra lebar 16MP dan lensa telefoto 8MP. P30 Pro pula tampil dengan4 lensa belakang iaitu lensa utama 40MP bersama OIS, lensa ultra lebar 20MP, lensa telefoto periskop 8MP dan sensor ToF.

Bateri P30 berkapasiti 3,650mAh manakala P30 Pro pula 4,200mAh. Seperti tahun lepas, hanya P30 Pro diiktiraf kalis air IP68 dan tiada jek audio 3.5mm.

[Sumber: Huawei Singapura, evleaks, Winfuture]