Honor 8C Telefon Praktikal Pada Harga Minimal

Honor terus membanjirkan pasaran telefon bajet dengan produk-produk baru dan kali ini ia adalah Honor 8C. Tapi Honor ingin mengangkat model 8C sebagai telefon praktikal berbanding telefon bajet. Menurut mereka, 8C dilengkapi semua fungsi asas yang diperlukan pengguna dalam kehidupan seharian.

Rupa fizikalnya mirip Honor 8X, yang kami katakan telefon 128GB termurah dalam pasaran, tapi pada spesifikasi lebih rendah.

Ia tak gunakan kemasan kaca berkilat seperti yang lain, tetapi yang 8C ada ialah kemasan matte yang cantik dan tak mudah comot. Kemasan sebegini amat jarang digunakan pada telefon 2018-2019.

Honor 8C adalah sebuah telefon berpaparan 6.25″ dengan resolusi HD+. Ada notch yang besar hadir di bahagian dahinya serta dagu yang agak besar.

Telefon ini tak gunakan CPU Kirin, sebaliknya memanfaatkan tenaga pengkomputeran dari Snapdragon 632. Jumlah RAM yang dimilikinya terhad iaitu 3GB dan storan 32GB.

Tidaklah menghairankan kerana versi C sememangnya menyasarkan harga yang lebih rendah untuk pengguna berbajet terhad. Maka anda tak bolehlah mengharapkan prestasi yang mengatasi Honor yang lebih berkuasa seperti 8X dan sebagainya.

Pada jabatan pengimejan, telefon ini dilengkapi dwikamera belakang 13MP dan 2MP. Untuk selfie, anda boleh gunakan kamera 8MP.

Yang saya gemari tentang telefon ini adalah baterinya yang besar. Kapasitinya 4,000mAh dengan gandingan CPU cekap tenaga, pastinya tiada masalah untuk mengharungi sepanjang hari dengan sekali cas.

Honor 8C akan mula dijual secara ekslusif di Lazada pada hari esok, 27 Mac 2019 pukul 10 pagi dengan 2 warna iaitu hitam dan biru. Sebuah Honor 8C berharga RM599.

Ia akan mula berada di rak jualan kedai fizikal dan stor online lain bermula 5 April 2019 dengan tambahan warna emas, selain warna biru dan hitam.

BACA  Honor 20 Lite rupanya telefon misteri 3 kamera yang akan dilancar di Malaysia

Spesifikasi dan harga Honor 8C meletakkan dirinya sebagai pesaing yang setaraf dengan Redmi 7 dan Realme 3 yang baru dilancarkan minggu lepas. Ketiga-tiga telefon ini berkongsi tanda harga RM599 yang memiliki RAM 3GB, storan 32GB dan bateri besar 4,000mAh.