fbpx

Mi 9 tiba di Malaysia April depan dengan harga di bawah RM2,000

Semasa pelancaran Redmi Note 7 di Malaysia, kami dimaklumkan Redmi Note 7 Pro tidak akan datang ke Malaysia antaranya untuk memberi laluan kepada Mi 9 yang akan tiba tidak lama lagi. Telefon pintar terbaik Xiaomi ini kini telah disahkan kedatangannya bersama harga jualan.

Menurut DirectD, Xiaomi Mi 9 akan dijual di Malaysia dengan harga RM1,999. Hanya satu jenis yang akan dijual, iaitu RAM 6GB dan storan dalaman 128GB.

Menerusi pengumuman ini, DirectD turut mula menerima tempahan awal Mi 9 yang memerlukan pembeli meletakkan deposit hanya RM200. Penghantaran akan dibuat pada bulan April tetapi masih belum diberitau tarikh yang sebenar.

DirectD juga menyenaraikan hanya dua warna disediakan untuk tempahan awal Mi 9 ini iaitu Hitam dan Biru. Dengan harga sebegini, Mi 9 bersaing terus dengan Honor View 20 yang juga berharga RM1,999 dengan RAM 6GB dan storan 128GB.

Mi 9 membawakan beberapa perkara baharu buat peranti flagship Xiaomi. Ia dikuasakan cip pemproses terbaru dan terbaik dari Qualcomm, Snapdragon 855.

Skrin Mi 9 berukuran 6.39-inci bertakuk kecil di dahi, dengan resolusi HD Penuh+. Telefon ini juga memiliki pengimbas capjari di dalam skrin.

Bateri di dalamnya agak kecil, hanya 3,300mAh tetapi kini ia menyokong pengecasan wayarles pantas 20W. Ia turut menerima pengecasan pantas berwayar 27W melalui port USB-C.

Pasangan tiga kamera digunakan di belakang, menggabungkan lensa utama 48MP, lensa ultra lebar 16MP dan lensa teleforo 12MP. Lensa utama 48MP menggunakan sensor Sony IMX586. Manakala kamera hadapan dipasang lensa 20MP.

Xiaomi sangat berbangga dengan kamera ini kerana ia menerima markah DxOMark yang tinggi, iaitu 112 mata untuk foto, 99 untuk video dan 107 secara keseluruhan. Markah ini lebih tinggi dari iPhone XS Max tetapi masih di belakang Huawei Mate 20 Pro.

BACA  Redmi Note 8 Pro akan jadi telefon pertama dilancar dengan kamera 64MP

Kenali Mi 9 dengan lebih lanjut menerusi video kami di bawah ini.