Pelancaran Huawei P30 di Malaysia ditetapkan minggu depan

Pagi tadi, Huawei P30 dan P30 Pro telah selamat dilancarkan. Majlis pelancaran yang diadakan di Paris, menampilkan revolusi kamera di telefon pintar dengan zum sehingga 50x.

Tidak lama selepas itu, Huawei Malaysia mengesahkan ketibaan siri P30 ke Malaysia menerusi satu jemputan media yang baru kami terima. Siri P30 akan dilancarkan di Malaysia minggu depan pada hari Selasa, 2 April 2019.

Tiada maklumat lain diberikan dalam jemputan media ini. Dijangkakan harga dan tarikh pertama jualan siri P30 akan diumumkan di dalam majlis pelancaran ini.

Tempahan awal bersama hadiah istimewa juga dijangka akan diberitahu di acara ini, di mana Huawei Malaysia telah memaklumkan akan memberikan Huawei Backup 1TB, sebuah storan luar serta pengecas pantas sebagai hadiah percuma untuk tempahan awal.

Kuad Kamera Leica di Huawei P30 Pro

Huawei P30 Pro menampilkan revolusi kuad kamera dengan optik Leica. Ia hadir dengan lensa teleskop periskop yang memberikan sehingga 5x zum optikal. Dengan teknologi tersendiri, Huawei menjamin 10x zum lossless yang mengekalkan kualiti gambar.

Beberapa perkara baru yang terdapat di P30 Pro ialah seperti pengecas wayarles dan pengecas wayarles terbalik, pengecas pantas 40W berwayar, pembesar suara atas skrin dan pengimbas capjari dalam skrin. Ia masih mengekalkan kekalisan air IP68 dan kini memiliki bateri lebih besar 4,200mAh.

Skrin OLED bertakuk kecil Huawei P30 Pro

Huawei P30 pula adalah versi lebih kecil dengan banyak fungsi dibuang dari P30 Pro. Ia hanya ada tiga kamera di belakang, tiada kekalisan air IP68, tiada pengecas wayarles, pengecas pantas 22.5W sahaja serta bateri dan skrin lebih kecil.

BACA  Celcom melantik tiga muka baru di posisi kanan pengurusan

Satu-satunya kelebihan berbanding P30 Pro ialah jek audio 3.5mm. Persamaannya pula ialah pengimbas capjari dalam skrin.

Tiga kamera belakang di Huawei P30

Baca lebih lanjut berkenaan spesifikasi Huawei P30 dan P30 Pro dalam laporan kami tentang pelancarannya di Paris di sini. Kenali juga Huawei P30 pro dengan lebih teliti menerusi ulasan awal kami di sini.

Tentang harga, ia dijual di Eropah dengan harga dan spesifikasi berikut:

Huawei P30
RAM 6GB + storan 128GB – EUR799 (~RM3,683)

Huawei P30 Pro
RAM 8GB + storan 128GB  – EUR999 (~RM4,604)
RAM 8GB + storan 256GB  – EUR1,099 (~RM5,065)
RAM 8GB + storan 512GB – EUR1,249 (~RM5,757)

Harga di Eropah memang sedikit mahal kerana cukai yang lebih tinggi. Tetapi kami yakin, harganya di Malaysia tidak jauh berbeza dengan Mate 20 Pro semasa dilancarkan tahun lepas. Jangkaan kami, harga P30 di bawah RM3,000 dan P30 Pro pula bermula di bawah RM4,000.