fbpx

OnePlus 7 Pro layak digelar telefon pintar terpantas

Selepas pelbagai desas-desas dan petunjuk demi petunjuk, akhirnya siri OnePlus 7 telah rasmi dilancarkan. Seperti yang kita sedia maklum, terdapat tiga jenis OnePlus 7 diperkenalkan iaitu OnePlus 7, OnePlus 7 Pro dan OnePlus 7 Pro 5G.

OnePlus telah mewar-warkan bagaimana peranti terbaru mreka adalah peranti yang paling pantas dan lancar untuk sebuah telefon pintar. Hilang sudah gelaran pembunuh flagship mereka yang sebelum ini menawarkan prestasi terhebat pada harga terendah, tetapi pengguna boleh lebih yakin dengan nilai yang dibayar mereka untuk sebuah OnePlus 7.

Bintang utama dalam majlis pelancaran ini ialah OnePlus 7 Pro. Sudah pasti, ia dilengkapi dengan pelbagai perkakas terhebat dan antaranya, adalah pertama terdapat di telefon pintar.

Dari luar, OnePlus 7 Pro memiliki skrin melengkung di kedua belah sini, sebesar 6.67-inci menggunakan paparan Fluid AMOLED. Ia menggunakan gelaran Fluid kerana paparan ini memiliki kadar segar semula sepantas 90Hz menjadikan penggunaan skrin sangat lembut dan lancar. Paparan ini juga memiliki nisbah skrin-ke-badan setinggi 93% kerana ia tiada sebarang takuk atau lubang.

Resolusi skrin peranti ini pula QuadHD+, sesuatu yang sukar ditemui di telefon pintar. Skrin ini turut menyokong HDR10+ dengan kadar kecerahan 800nits. Sebab itulah DisplayMate menganugerahkan taraf A+ untuk paparan OnePlus 7 Pro.

Untuk notifikasi, telefon ini menggunakan teknologi Horizon Light di mana ia mengeluarkan cahaya di tepi skrin. Peranti ini juga menggunakan pengimbas capjari di dalam skrin seperti OnePlus 6T.

OnePlus 7 Pro memiliki skrin luas tanpa takuk dan lubang kerana kamera hadapannya disorokkan menggunakan modul yang boleh tersembunyi. Caranya sama seperti di Oppo F11 Pro. Kamera hadapan 16MP ini boleh keluar dalam masa 0.53 saat dan telah diuji keluar dan masuk sebanyak 300,000 kali. ia bersamaan 50 kali sehari selama 16.5 tahun.

BACA  Huawei Malaysia akan lancar telefon baru yang boleh menggunakan Google

Untuk membuktikannya, OnePlus telah memuat naik video sepanjang 12 jam bagaimana modul kamera ini diuji tanpa henti. Mengapa 12 jam? Ini kerana ia adalah had yang diletakkan oleh YouTube sendiri. Peranti ini juga boleh mengesan jika telefon ini terjatuh, ia akan segera menyimpan modul kamera untuk mengelakkan kecederaan padanya. Sistem keselamatan ini sama seperti yang ada di Oppo Find X.

Sebelum ini OnePlus jarang dijulang sebagai peranti dengan kamera yang hebat. Tetapi di OnePlus 7 Pro, ia kini boleh diletakkan menghampiri dengan Huawei P30 Pro dan Samsung Galaxy S10 5G kerana DxOMark memberinya markah 111, hanya satu markah di belakang kedua-dua peranti tadi.

OnePlus 7 dilengkapi tiga kamera gabungan kamera utama 48MP F1.6 yang menggunakan sensor Sony IMX586 dengan penstabil imej optikal (OIS). Seterusya ialah kamera telefoto 8MP F2.4 yang memberi 3x zum optikal bersama OIS. Kamera ketiga ialah kamera ultra lebar 16MP F2.2 dengan sudut pandang 117-darjah.

Kamera ini turut dilengkapi tiga jenis fokus iaitu PDAF, CAF dan Laser. Di samping itu, teknologi Nightscape 2.0 turut terdapat padanya untuk memberikan hasil tangkapan lebih cerah dalam suasana rendah cahaya.

Semua kehebatan ini digerakkan oleh pemproses terhebat di pasaran, Snadpragon 855. Pilihan RAM disediakan antara 6GB dan 8GB dari jenis LPDDR4x dengan storan UFS3.0 sehingga 256GB. Ia adalah peranti pertama menggunakan storan UFS3.0 yang 79% lebih pantas berbanding UFS2.1 yang terdapat di peranti flagship lain. OnePlus turut memasang sistm penyejukan cecair 10-lapisan untuk memastikan ia lebih sejuk dari biasa.

Kapasiti bateri sebesar 4,000mah padanya adalah kapasiti terbesar pernah ada di peranti OnePlus. ia menyokong pengecasan pantas Warp Charger 30 berkuasa 30W melalui port USB-C. Hanya 20 minit diperlukan untuk mengecas dari 0% ke 50%. OnePlus juga menyatakan, peranti ini kekal sejuk walaupun bermain game semasa mengecas. Bagaimanapun, tiada sokongan pengecasan wayarles padanya.

BACA  GSC Aurum Theatre sediakan pengalaman mewah menonton filem berharga RM150

Akhirnya, OnePlus menambah pembesar suara stereo pada OnePlus 7 Pro. Ia diperkasa dengan teknologi Dolby Atmos untuk memberikan pengalaman ibarat di pawagam. Sayangnya jek audio 3.5mm masih tiada padanya. untuk getaran, telefon ini dipasang motor getaran haptik baru yang lebih kuat dan tepat.

Kelancaran peranti OnePlus adalah kerana sistem operasi Oxygen OS mereka. Dengan Oxygen OS 9.5, ia kini menyokong rakaman skrin dengan bunyi dan menyokong 90Hz.

Ia turut memiliki mod Gaming yang direka dengan kerjasama Fnatic. Mod Fnatic ini mengaktifkan DND, mengehadkan proses sistem dan meningkatkan kemampuan rangkaian. Pada masa yang sama, ia turut memaksimakan penggunaan RAM, CPU dan GPU untuk bermain game.

OnePlus 7 Pro menjalankan sistem operasi berasaskan Android 9.0 Pie, dan ia akan menerima kemaskini OS selama 2 tahun serta kemaskini keselamatan selama 3 tahun. Peranti ini juga tersenarai di dalam projek Android Q beta 3, bagi yang ingin mencuba OS terbaru sebelum ia dirasmikan.

Sebanyak tiga warna ditawarkan untuk OnePlus 7 Pro iaitu Mirror Gray (versi RAM 6GB dan 12GB), Nebula Blue (versi RAM 8GB dan 12GB), dan Almond (versi RAM 8GB).

Terdapat versi khas OnePlus 7 Pro 5G yang akan terdapat di United Kingdom, eksklusif di EE. Ia menggunakan modem Snapdragon X50 dan walaupun rupa luarannya serupa, ia memiliki rekaan antena dan NFC yang sedikit berbeza.

OnePlus 7 Pro akan dijual di India bermula 17 Mei 2019. Harga jualannya seperti berikut:

  • RAM 6GB RAM + storan 128GB – INR 48,999 (~RM2907)
  • RAM 8GB RAM + storan 256GB – INR 52,999 (~RM3,145)
  • RAM 12GB RAM + storan 256GB – INR 57,999 (~RM3,145)

Sementara itu di United Kingdom pula, harga jualannya seperti berikut:

  • RAM 6GB RAM + storan 128GB – GBP 649 (~RM3,497 )
  • RAM 8GB RAM + storan 256GB – GBP 699 (~RM3,767)
  • RAM 12GB RAM + storan 256GB – GBP 799 (~RM4,306)
BACA  Adakah polis boleh semak telefon bimbit orang awam secara rambang?

Di Malaysia, OnePlus 7 Pro akan dilancarkan pada 21 Mei 2019. Sebelum ini, OnePlus diedarkan oleh Brightstar dan seterusnya oleh Mihan. Kini ia diedarkan secara tunggal oleh XianFeng Technology dan mereka sedang mencari pengedar yang berminat. Buat masa ini, mereka memiliki 8 pusat servis di seluruh negara.