Honor 20 Di Malaysia: Maklumat Yang Anda Perlu Tahu

Honor membawa masuk dua jenis Honor 20 di Malaysia, satu versi biasa dan satu lagi Honor 20 Pro. Daripada mata kasar, kedua-dua telefon nampak serupa tapi jika diamati betul-betul, ada beberapa kelainan antara mereka dan Honor 20 adalah versi yang lebih mampu milik.

Antara persamaan Honor 20 Pro dan Honor 20 adalah kedua-duanya diperkasa SoC Kirin 980 iaitu cip Huawei paling hebat setakat ini. Di bahagian muka, mereka ada paparan sebesar 6.26″ dengan resolusi HD Penuh+.

Notch terapung yang sama boleh ditemui pada nova 4, boleh ditemui pada kedua-dua telefon ini. Ia menempatkan kamera 32MP untuk anda gunakannya mengambil gambar selfie. Kemudian, di bahagian sisi telefon, butang kuasanya turut bertindak sebagai pengimbas cap jari dan hal ini bermakna siri Honor 20 tidak dilengkapi pengimbas tertanam di dalam paparan.

Persamaan yang terakhir adalah kedua-duanya tiada slot untuk memasukkan kad mikro-SD, baterinya boleh dicas pantas menggunakan pengecas SuperCharge 22.5W, dan tidak hadir dengan port audio 3.5mm.

Honor 20 Pro adalah yang paling premium dalam keluarga siri Honor 20. Selain SoC hebat, ia dilengkapi RAM 8GB dan storan 256GB.

Pada bahagian pengimejan, Ia menggunakan konfigurasi kuadkamera belakang dengan kamera utama ada sensor 48MP berapertur F1.4, bukaan yang terluas dalam pasaran telefon setakat ini.

Kamera keduanya adalah yang menggunakan lensa ultralebsar dengan sensor 16MP. Kamera ketiga diberikan sensor 8MP yang digunakan untuk mengambil gambar jauh manakala kamera terakhirnya adalah kamera 2MP untuk gambar jarak dekat sehingga 4cm dekatnya.

Membekalkan tenaga kepada telefon ini adalah sekeping bateri berkapasiti 4,000mAh.

Honor 20 adalah versi yang lebih mampu milik. Bezanya dengan versi pro adalah pada kamera ketiganya. Kalau di Honor 20 Pro ada kamera telefoto 8MP, di Honor 20 ada kamera bokeh 2MP.

BACA  Foxconn boleh hasilkan iPhone di luar China jika kerajaan AS memaksa

Kemudian, baterinya sedikit kecil iaitu pada 3,750mAh tapi pada kapasiti sedemikian, ia tetap besar pada pandangan saya.

Bila anda boleh beli Honor 20? Honor Malaysia masih belum menetapkan tarikh jualannya tetapi harganya di Malaysia diumumkan pada RM1,699 sahaja. Ini untuk Honor 20 sahaja, harga Honor 20 Pro belum diberitahu.

Honor 20 akan dibuka tempahan awal tidak lama lagi, yang menyediakan hadiah bernilai RM500 iaitu beg Honor, speaker Honor SoundStone dan gelang pintar Honor Band 4. Nantikan pengumuman tarikh tempahan awal ini tidak lama lagi.