fbpx

Honor 20 boleh mula ditempah tapi tarikh jualan masih misteri

Honor 20 dengan kuasa 4 kamera belakang telah selamat dilancarkan di Malaysia. Walaupun harganya telah diumumkan, tarikh jualannya masih misteri. Seminggu yang lepas, Honor Malaysia telah memberitahu tarikh tempahan awal tetapi terpaksa membatalkannya atas alasan masalah logistik.

Mungkin tarikh jualan Honor 20 akan diumumkan tidak lama lagi memandangkan beberapa penjual telah mula mengambil tempahan awal Honor 20 hari ini. Salah satunya ialah Mobile 2 Go. Orang ramai boleh membuat tempahan awal dengan membayar deposit hanya RM100 dan baki bayaran dibuat semasa mengambil peranti kelak.

Tempahan awal ini juga akan memberikan pengguna hadiah percuma bernilai RM500 iaitu beg Honor, speaker Honor SoundStone dan gelang kecergasan Honor Band 4. Pengguna di Malaysia boleh memiliki Honor 20 dengan harga RM1,699 sahaja.

Honor 20 dijual di Malaysia dalam 2 pilihan warna iaitu Midnight Black dan Sapphire Blue. Walaupun tempahan awal ini telah dibuka, tarikh jualan Honor 20 di Malaysia masih belum diketahui.

Telefon pintar Honor 20 menampilkan 4 kamera di belakang iaitu kamera utama 48MP F1.8, kamera ultra lebar 16MP F2.2, kamera pengesan kedalaman 2MP dan kamera makro 2MP. Kamera hadapannya 32MP.

Skrin Honor 20 sebesar 6.26-inci dengan takuk kecil di atas dan resolusi HD Penuh+. Ia tiada pengimbas capjari di skrin sebaliknya menggunakan capjari di sisi yang digabungkan dengan butang kuasa.

Bateri Honor 20 sebesar 3,750mAh dan ia datang bersama pengecasan pantas Huawei SuperCharge 22.5W melalui USB-C. Telefon ini tiada jek audio 3.5mm, tiada slot kad mikroSD dan tidak kalis air.

Kenali Honor 20 lebih dekat melalui video kami di bawah.

BACA  Galaxy Fold Yang Sedia Mahal Akan Lebih Mahal Bila Dilancarkan September Nanti?