fbpx

Malaysia tak kisah larangan Amerika, akan guna Huawei sebanyak mungkin

Perdana Menteri Malaysia, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Amerika Syarikat (AS) untuk menyelesaikan segera perbalahan mereka dengan China, termasuk larangan terhadap gergasi tekomunikasi Huawei. Kegagalan mencapai kata sepakat boleh membawa kepada masalah lebih besar, termasuk konflik ketenteraan.

AS baru-baru ini meletakkan Huawei ke dalam Senarai Entiti, dalam kata lain ia adalah senarai larangan terhadap syarikat luar AS yang dilihat memberi ancaman keselamatan kepada AS. Syarikat yang ingin berurusniaga dengan syarikat di dalam Senarai Entiti, perlu mendapat kelulusan kerajaan AS terlebih dahulu.

Larangan ini memberi kesan sehingga luar sempadan AS dan turut memberi impak kepada pelbagai rakan niaga dan pembekal barangan Huawei di luar AS, yang turut menggunakan produk atau perisian dari AS.

Dalam persidangan tahunan Future of Asia di Tokyo yang dihoskan oleh Nikkei, Mahathir memuji Huawei telah mencapai pelbagai kemajuan melebihi teknologi yang ada di AS. Beliau mengakui, AS memiliki penyelidikan dan pembangunan yang hebat, tetapi mereka harus juga mengakui kebolehan ini juga terdapat di negara Timur.

“Jika aku tidak ke hadapan, aku akan menyekat kamu, aku akan menghantar kapal perang, ini bukan persaingan tetapi ia ugutan,” tegas Mahathir dalam ucapannya.

Walaupun ada negara yang menurut jejak langkah AS seperti Jepun dan Australia yang mengelakkan penggunaan peralatan Huawei dalam pembangungan rangkaian 5G, Mahathir menjelaskan Malaysia tidak ada niat untuk menolak penggunaan teknologi 5G Huawei.

Menurut Mahathir, Malaysia tidak risau akan ancaman pengintipan kerana Malaysia ini seperti buku terbuka. Huawei memiliki penyelidikan yang jauh lebih besar dari keupayaan Malaysia, jadi Malaysia akan menggunakan teknologi Huawei sebanyak yang mungkin.

Walaupun Mahathir dilihat tidak memberi sokongan kepada Amerika, ia tidak bermakna beliau akan mengiyakan perbuatan kerajaan China. Beliau turut menyelar Beijing berikutan pergerakan ketenteraan China di Laut China Selatan.

BACA  Pemproses Kirin terbaru dijangka muncul di IFA 2019

Mahathir memberi amaran, tiada kapal perang harus berada di Laut China Selatan kerana dengan insiden yang kecil boleh mencetuskan peperangan. Beliau menambah, negara di Asia Tenggara mampu menyelesaikan perbalahan menerusi mahkamah antarabangsa sebagai contoh perundingan yang membawa keamanan dan meningkatkan ekonomi.

Ikuti wawancara penuh Perdana Menteri Malaysia bersama Nikkei dalam video di bawah.

Sumber: Nikkei