fbpx

Galaxy Note 10 akan datang dengan pengecas terpantas Samsung

Selepas pengecas pantas di telefon pintar melepasi paras 10W, Samsung hanya ada satu jenis pengecas pantas adaptif 15W yang digunakan sehingga model Galaxy S10. Kemunculan Galaxy A70 dan A80 membawakan pengecas pantas 25W yang baru dalam keluarga Samsung.

Galaxy Note 10 yang akan dilancarkan tidak lama lagi dikhabarkan akan datang dengan pengecasan pantas yang jauh lebih berkuasa. Pembocor berita bersiri Universe Ice, berkongsi satu gambar misteri dalam kicauan di twitter.

Gambar tersebut ialah gambar Leonardo Da Vinci dengan simbol kilat di tepi. Dalam gambar tersebut, terdapat juga kod nombor binari iaitu 101101.

Da Vinci merupakan nama kod untuk Galaxy Note 10 dan kod binari tersebut, apabila diubah kepada nombor biasa menjadi 45. Ia adalah petunjuk untuk mengatakan Galaxy Note 10 akan hadir besama pengecasan pantas 45W. Kuasa ini adalah 3x lebih tinggi dari pengecas adaptif Samsung 15W yang digunakan di Galaxy Note9.

Untuk perbandingan dengan jenama lain, Huawei P30 memiliki pengecas pantas SuperCharge berkuasa 40W. Manakala OnePlus 7 Pro pula menggunakan Warp Charge 30W. Pengecas paling berkuasa masakini ialah OPPO SuperVOOC 50W yang terdapat di Oppo Find X Lamborghini dan Oppo R17 Pro.

OPPO SuperVOOC 50W

Berkenaan saiz bateri, Galaxy Note 10 dikhabarkan akan memiliki bateri 4,500mAh manakala versi lebih kecil Galaxy Note 10e akan datang dengan bateri 3,400mAh.

Dalam berita lain, Samsung baru sahaja memperkenalkan teknologi pengecasan USB-C Power Delivery (PD) dengan sokongan sehingga 100W (20V/5A). Selain telefon pintar, ia juga akan boleh digunakan bersama tablet, laptop dan monitor. Pada awalnya, ia dijangka akan muncul bersama Galaxy Note 10 tetapi mungkin Samsung masih belum bersedia memasangnya di telefon pintar.

BACA  Samsung Galaxy Fold akan tiba di Malaysia bulan ini

Sumber: Sammobile, @UniverseIce