fbpx

Semua yang anda perlu tahu tentang Google Stadia, platform strim games tanpa konsol dan komputer

Akhirnya semua tentang Google Stadia telah didedahkan dalam acara Stadia Connect. Ia menjelaskan tentang apakah itu Stadia, bilakah ia boleh dilanggan, harga langganan dan di mana ia akan mule beroperasi.

Jadi apakah itu Stadia? Stadia adalah platform untuk bermain permainan video berkualiti tinggi secara strim. Tidak perlu lagi komputer dengan kuasa grafik yang tinggi atau konsol permainan. Di Stadia, apa yang diperlukan ialah alat kawalan Stadia dan sambungan internet berkelajuan tinggi.

Secara ringkas, bermain games di Stadia ini ibarat menonton video di YouTube. Kalau mahu menonton dengan kualiti tinggi HD Penuh, kena ada sambungan internet yang pantas barulah tak tersangkut dan tiada lengah.

Sambungan Internet

Stadia menawarkan kualiti yang pelbagai, bergantung kepada kemampuan internet pengguna. Paling rendah untuk bermain games dengan resolusi HD 720p, 60 fps dan sistem bunyi stereo, ia mencadangkan kelajuan minima 10Mbps. Bagi kualiti HD Penuh 1080p, 60fps, HDR Video dan sistem bunyi 5.1 surround, kelajuan yang disyorkan ialah 20Mbps.

Untuk menikmati kualiti tertinggi dengan tahap resolusi 4K, 60 fps, HDR Video serta sistem bunyi 5.1 surround, pengguna digalakkan memiliki kelajuan minima 35Mbps.

Peranti sokongan

Platform Stadia boleh digunakan di pelbagai peranti seperti komputer peribadi, komputer riba, tablet serta di telefon pintar. Bagaimanapun untuk telefon pintar, buat masa ini ia hanya menyokong Google Pixel 3, 3 XL, 3a dan 3a XL sahaja. Sokongan peranti lain akan ditambah di kemudian hari. Bagaimanapun, peranti Android yang menjalankan Android M ke atas serta iOS 11 ke atas, boleh digunakan untuk mencipta akaun serta membeli games.

Untuk bermain di skrin besar seperti TV, apa yang diperlukan ialah Google Chromecast dan juga alat kawalan Stadia. Dengan menggunakan Chromecast Ultra, pengguna boleh menikmati paparan sehingga resolusi 4K di TV.

BACA  Mi 9 Pro Diumum Dan Miliki Harga Termurah Dunia Untuk Sebuah Telefon 5G

Harga langganan dan tarikh jualan

Stadia akan ditawarkan dalam dua jenis langganan, Stadia Base dan Stadia Pro. Stadia Base akan ditawarkan bermula tahun depan secara percuma. Pengguna hanya perlu membayar games yang diingini sahaja. Tetapi ia dihadkan kepada resolusi 1080p dan sistem bunyi stereo sahaja.

Stadio Pro pula akan ditawarkan secara langganan bulanan, pada kadar USD9.99/bulan (~RM41.54). Ia memberi kualiti tertinggi seperti resolusi sehingga 4K, serta sistem bunyi sekeliling 5.1 saluran. Pro juga akan menerima permainan percuma dari semasa ke semasa, bermula dengan koleksi lengkap Destiny 2: The Collection. Selain itu, akaun Pro akan menerima diskaun khas untuk games terpilih.

Bagaimanapun, platform Stadia hanya akan terdapat di beberapa buah negara sahaja apabila ia mula dilancarkan pada November 2019 kelak iaitu di Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Belgium, Perancis, Finland, Italy, Belanda, Norway, Sepanyol, Sweden, Jerman, Ireland dan Denmark. Tiada langsung negara Asia dalam senarai tersebut, bermakna tiada juga Malaysia.

Sebagai permulaan, Google akan menawarkan Stadia dalam bentuk promosi yang dipanggil Stadia Founders Edition. Ia boleh ditempah bermula sekarang berharga USD129 (~RM536) dan pengguna akan menerima alat kawalan Stadia edisi terhad berwarna biru, Chromecast Ultra, 3 bulan akses ke Stadio Pro, serta pas Buddy yang membolehkan pengguna memberi rakan atau keluarga, akses ke Stadia Pro selama 3 bulan. Malah, pengguna Founders Edition juga boleh memilih nama Stadia mereka sendiri, sebelum dibuka pendaftaran kepada pengguna biasa.

Untuk membeli alat kawalan Stadia sahaja, ia akan dijual pada harga USD69 (~RM287) dalam tiga pilihan warna iaitu Just Black, Clearly White dan Wasabi. Alat kawalan ini memiliki butang khas Google Assistan serta butang Capture, untuk merakam gambar atau video semasa bermain games.

BACA  GoPro Hero 8 Black Tambah Baik HyperSmooth Yang Sudah Sedia Baik

Tajuk Permainan

Dalam persembahan Stadia Connect, beberapa permainan telah dipertontonkan menggunakan platform Stadia dan ia akan sedia dimainkan pengguna kelak. Antaranya ialah Assassin’s Creed Odyssey, Baldur’s Gate 3, Destiny 2, Gylt, Mortal Kombat 11 dan Tom Clancy’s Ghost Recon Breakpoint.

Tom Clancy’s Ghost Recon Breakpoint di Stadia

Memang menarik perkhidmatan yang ditawarkan oleh Stadia. Tidak lagi perlu mengeluarkan wang yang besar untuk membeli komputer berkuasa tinggi, tetapi cukup hanya membeli alat kawalan Stadia dan membayar langganan atau tajuk permainan yang diingini sahaja.

Tetapi adakah Stadia sesuai untuk dimainkan, terutama sekali di Malaysia? Harapnya kita di Malaysia akan turut menerima akses ke Stadia tidak lama selepas ia dilancarkan kelak. Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web www.stadia.com. Kalau tak boleh akses, cuba guna mod Incognito di Chrome dan ubah Stor Google negara ke Amerika Syarikat.

Sementara itu, tonton pembentangan Google Stadia versi pendek dalam 3 minit menerusi video di bawah ini.