Hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi sebelum pelancaran Samsung Galaxy Note 10. Namun, terdapat pelbagai khabar angin yang bertiup kencang di sosial media mengenai rekaan dan spesifikasi yang bakal dimiliki oleh peranti itu.
Sebelum ini, berita mengenai gambaran rekaan kamera menegak Samsung Galaxy Note 10 telah pun terbocor. Bukan itu sahaja, ia juga bakal hadir dengan dua model iaitu model asas Galaxy Note 10, dan model premium, Galaxy Note 10 Pro.
Baru-baru ini, seorang pembocor berita, Steve H. McFly, mendedahkan gambaran rekaan Samsung Galaxy Note 10 Pro menerusi laporan Pricebaba.
Menerusi gambaran rekaan Note 10 Pro itu, ia bakal datang dengan skrin seluas 6.75″, manakala dimensi telefon itu pula adalah 162.3 x 77.4 x 7.9mm. Sementara model Note 10 pula, ia dijangkakan hadir dengan paparan 6.3″ dan kedua-dua peranti tersebut mempunyai skrin beresolusi QuadHD+.
Berbanding rekaan S10+, Note 10 Pro akan memiliki skrin berlubang ditengah dan hanya mempunyai rekaan satu kamera bagi kamera hadapannya. Ia juga menggunakan paparan Dynamic AMOLED dengan lengkung di kedua belah sisi skrin.
Pada bahagian belakang pula, menerusi gambaran rekaan kamera Note 10 Pro itu, menunjukkan ia memiliki 4 kamera dengan rekaan menegak pada sebelah kiri (3 kamera disusun pada satu bingkai yang sama dan kamera ToF disusun bersama flash pada sebelahnya).
Selain itu, tiada pula pengimbas cap jari pada bahagian belakang peranti tersebut. Ini menunjukkan peranti tersebut akan menggunakan pengimbas cap jari di dalam skrin, dijangka dari jenis ultrasonik seperti Galaxy S10.
Menerusi gambaran tersebut, pada bahagian atas peranti itu dilihat mempunyai slot sim kad bersama microphone kedua dan sensor IR blaster.
Pada sebelah kiri telefon pula, terdapat butang kuasa dan kawalan bunyi. Manakala pada bahagian bawahnya pula, terdapat port USB-C bersama jeriji pembesar suara dan tempat menyimpan S-Pen.
Seperti yang dijangkakan, Samsung Galaxy Note 10 Pro ini tidak akan datang dengan butang bixby yang ada pada siri Galaxy S10 dan merupakan peranti pertama dari Samsung yang tidak memiliki jek audio 3.5mm.
Menerusi laporan terdahulu, Galaxy Note 10 Pro ini bakal memiliki bateri sebesar 4,500mAh dan pengecasan pantas 45W. Manakala Galaxy Note 10 pula memiliki bateri sebesar 3,400mAh.
Spesifikasi lain yang terdapat pada Galaxy Note 10 Pro ini adalah bakal dikuasakan dengan cip pemprosesan Snapdragon 855 (atau Exynos 9820) SoC serta digandingkan dengan RAM sebesar 128GB dan storan UFS 3.0.
Sumber: Pricebaba