fbpx

Set rasmi Mi 9T boleh dibeli dari serendah RM1099 di Malaysia?

Hari ini, Xiaomi Malaysia akan mengadakan majlis pelancaran Mi 9T di Malaysia. Tetapi harga jualannya mungkin telah terdedah secara tidak sengaja.

Perkara ini ditemui oleh Lowyat di mana satu banner berkenaan Mi 9T telah kelihatan di Lazada Malaysia semalam. Banner tersebut menyatakan Mi 9T akan dijual di Malaysia pada harga RM1,199. Bagaimanapun ia tidak lagi kelihatan pagi ini.

Banner itu juga menyebut, khas pada hari pertama jualannya iaitu 25 Jun 2019, orang ramai boleh membelinya dengan diskaun RM100 iaitu RM1,099 sahaja. Ia tidak menyatakan apakah jenis storannya tetapi berkemungkinan besar harga ini untuk storan 64GB, bersama RAM 6GB.

Seperti yang kami jangka sebelum ini, harga Mi 9T di Malaysia akan dijual lebih rendah dari Mi 9 SE yang berharga RM1,299 dengan RAM 6GB dan storan 64GB. Perkara ini selaras dengan harga jualan Mi 9T dan Mi 9 SE di Eropah, di mana Mi 9T memiliki harga lebih rendah.

Mi 9T ialah peranti terbaru Xiaomi yang dijenamakan semula dari Redmi K20 di China. Ia dikuasakan cip kelas pertengahan terbaik masakini, Snapdragon 730. Skrinnya berukuran 6.39-inci HD Penuh tanpa sebarang takuk dan lubang.

Kamera hadapan 20MP F2.2 padanya menggunakan modul pop-up yang boleh disembunyi, menjadikan skrinnya bersaiz penuh tanpa takuk dan lubang. Manakala di belakang, Mi 9T dipasang 3 kamera iaitu kamera utama 48MP F1.75, kamera ultra lebar 13MP F2.4 dan kamera telefoto 8MP F2.4 dengan 2x zum optikal.

Pengimbas capjari Mi 9T terdapat di dalam skrin. Ia memiliki bateri besar 4,000mAh dan datang dengan pengecas pantas 18W USB-C. Ia juga masih ada jek audio 3.5mm tetapi tiada slot kad mikroSD.

BACA  Kegendalaan Facebook Dedahkan Bagaimana AI Lihat Gambar Anda

Kita nantikan pengumuman rasmi dari Xiaomi Malaysia petang ini. Harapnya Mi 9T dengan storan 128GB juga akan dijual di Malaysia. Jika ada, kami jangka harganya sekitar RM1,399.

Sumber: Lowyat