fbpx

Galaxy A80 dengan kamera berputar tiba pada 12 Julai

Keunikan kamera berputar Galaxy A80 akhirnya akan tiba secara rasmi di Malaysia. Samsung malaysia menerusi laman sosial telah memuat naik video yang menyatakan tarikh mula jualan Galaxy A80 serta harga rasminya.

Galaxy A80 akan mula dijual di Malaysia pada 12 Julai 2019, dengan harga rasmi jualan RM2,499. Ini ialah ahli Galaxy A yang paling mahal dijual di Malaysia. Telefon ini memiliki RAM 8GB dan storan sebesar 128GB. Sebanyak tiga warna akan ditawarkan iaitu Hitam, Emas dan Putih.

Stor Samsung di Lazada juga kelihatan telah mula memuat naik banner kedatangan Galaxy A80. Dnegan tarikh jualan pada 12 Julai, ia akan berlangsung serentak dengan jualan Mid-Year Festival Lazada.

Beberapa penjual telah pun membuka tempahan awal Galaxy A80 sebelum ini dan stok dijangka tiba pada hujung minggu ini.

Galaxy A80 memiliki skrin Infinity AMOLED 6.7-inci HD Penuh+, tanpa takuk dan lubang. Skrin ini memiliki pengimbas capjari dan ia dikuasakan oleh pemproses Snapdragon 730.

Sebanyak tiga kamera terdapat di Galaxy A80 iaitu kamera utama 48MP, kamera ultra lebar 8MP dan kamera 3D ToF. Uniknya, swafoto juga menggunakan kamera yang sama kerana modul kamera Galaxy A80 boleh berputar dari belakang ke depan. Ini membolehkan ia mencapai skrin penuh tanpa takuk dan lubang.

Telefon ini dibekalkan bateri sebesar 3,700mAh dan menyokong pengecasan pantas 25W melalui USB-C. Kekurangan yang ada padanya ialah ketiadaan jek audio 3.5mm, tiada slot kad mikroSD dan tidak kalis air.

BACA  Diskaun untuk Realme C2 dan lawatan ke Kota Bharu sempena bulan Merdeka

Kenali lebih lanjut tentang Galaxy A80 dalam reviu awal kami di sini, serta menerusi video di bawah.