fbpx

Peranti Samsung miliki kelajuan internet lebih pantas dari Huawei dan Apple di Malaysia

OpenSignal merupakan sebuah syarikat yang membuat analisa terhadap penggunaan rangkaian mudah alih di seluruh dunia. Hari ini, OpenSignal mengeluarkan laporan baru mereka berkenaan, kaitan model telefon pintar dan kelajuan internet mudah alih di Malaysia. Laporan ini meliputi 3 jenama telefon pintar iaitu Samsung, Huawei dan Apple, dari 1 April hingga 30 Jun 2019.

Dalam laporan itu, pengguna Samsung di Malaysia menikmati kelajuan muat turun, 1.3Mbps lebih pantas dari pengguna Huawei dan 3.3Mbps lebih pantas dari pengguna iPhone. Trend ini dilihat 35% sama dengan analisa 40 negara.

Dalam analisa 40 negara, pengguna Apple menikmati kelajuan paling pantas dalam 17% negara. Manakala baki 48% negara lagi, tiada jenama yang dikira paling pantas. Huawei pula dinobat terpantas bersama di 7 buah negara.

Di Amerika Syarikat, pengguna Samsung menikmati kelajuan muat turun sehingga 8.2Mbps lebih laju dari pengguna iPhone. Menariknya di Norway, kelajuan muat turun pengguna Samsung 12Mbps lebih pantas dari pengguna Huawei, dan 14Mbps lebih pantas dari pengguna iPhone.

Selain dari jenama, kelas peranti juga memainkan peranan yang penting. Dalam 25 buah negara, peranti kelas flagship menikmati kelajuan 2x ganda dari peranti kelas permulaan. Di Thailand pula, perbezaan menjadi sangat ketara di mana peranti kelas flagship memiliki kelajuan 4.3x lebih laju dari peranti kelas permulaan.

Walaupun Samsung kelihatan menguasai kelajuan di peringkat flagship, mereka kalah kepada peranti Huawei di kelas pertengahan dan kelas permulaan. Peranti flagship memiliki kelajuan lebih tinggi kerana ia memiliki band yang lebih lebar dengan teknologi wayarles yang lebih canggih, seperti 256 QAM dan 4×4 MIMO.

Jenis cip rangkaian seperti Qualcomm, Intel, HiSilicon, Exynos atau Mediatek turut memberi kesan kepada prestasi rangkaian.

BACA  Samsung Galaxy Fold berharga RM8,388 habis ditempah dalam tempoh 24 jam

Walaupun semakin banyak telefon pintar dengan LTE Cat 16 yang sedia berkelajuan gigabit, kebanyakan peranti masih mengalami kelajuan di bawah kelajuan dunia sebenar. Di Malaysia, peranti flagship mencatatkan kelajuan muat turun purata 19Mbps.

Untuk peranti kelas pertengahan (LTE Cat 5 – Cat 15), pengalaman penggunaan lebih perlahan dengan purata muat turun 13.8Mbps. Manakala kelas permulaan pula (LTE Cat 4 ke bawah) mencatat kelajuan muat turun purata 12.3Mbps.

Selain kelajuan muat turun, peranti kelas flagship juga memberikan kelajuan muat naik yang penting untuk mereka yang sering menghasilkan kandungan video. Selain itu, peranti flagship terbaru juga menyediakan lengah lebih rendah, yang penting semasa bermain game masa nyata.

Laporan penuh OpenSignal ini boleh didapati di sini.