fbpx

iPhone 11 akan tiba pada 10 September, mahu ikut jejak langkah MacBook dan iPad

Telah banyak maklumat berkenaan telefon pintar Apple yang akan datang, iPhone 11 telah dibocorkan. Walaupun begitu, maklumat tersebut tidak boleh diterima sepenuhnya memandangkan masih tiada bukti kukuh padanya.

Tetapi ada beberapa persamaan dalam maklumat-maklumat yang telah tersebar itu, antarannya penggunaan tiga kamera belakang dalam modul empat segi, serupa seperti di Huawei Mate 20. Selain itu, Apple dikatakan akan terus mengekalkan takuk besar yang ada sejak iPhone X.

Terkini, satu berita yang hangat diperkatakan baru-baru ini ialah nama baru untuk iPhone 11. Akaun twitter @CoinX sebelum ini telah membocorkan beberapa berita dengan tepat, ada yang mengatakan 100% tepat kerana belum ada kesilapan dalam maklumat yang dibocorkannya. Kali ini, CoinX telah berkicau dan mengatakan iPhone akan memiliki nama Pro padanya.

Bagaimanapun, tidak dijelaskan adakah nama Pro itu akan menggantikan nama sedia iaitu iPhone XR, iPhone XS dan iPhone XS Max. Jika benar, model yang akan menggunakan nama Pro berkemungkinan besar ialah iPhone XS Max. Dengan itu, model baru iPhone yang akan datang mungkin ialah iPhone 11R, iPhone 11 dan iPhone 11 Pro.

Penggunaan nama Pro sebenarnya lebih sesuai berbanding Max memandangkan Apple telah menggunakannya dalam produk mereka yang lain seperti MacBook Pro dan iPad Pro. Nama Pro yang digunakan bukan sahaja menyatakan ia adalah model dengan skrin lebih besar, tetapi juga dengan perkakas lebih berkuasa.

Tarikh Pelancaran iPhone 11

Dalam satu berita lain, tarikh pelancaran iPhone 11 dikatakan telah ditemui di dalam kemaskini Beta terbaru iOS 13. Tersembunyi di dalam iOS 13 Beta 7, iHelp BR telah menemui satu screenshot dengan label ‘HoldForRelease‘. Gambar tersebut ialah skrin utama dengan takuk, serta kalendar bertarikh 10 September.

BACA  Xpax XP Lite pelan pascabayar boleh ubahsuai dari serendah RM28

10 September 2019 jatuh pada hari Selasa, hari yang selalu dipilih oleh Apple untuk pelancaran produk barunya. Sebelum ini juga, Apple telah membocorkan tarikh pelancaran iPhone di dalam kemaskini Beta iOS 11 dan iOS 12.

Mengikut kebiasaannya, Apple akan mula menjual iPhone sekitar 2 minggu selepas pelancarannya. Untuk Malaysia, bagi iPhone XS tahun lepas, ia tiba sebulan selepas pelancaran di Amerika Syarikat.

Adakah anda sudah bersedia untuk memiliki iPhone terbaru dari Apple tidak lama lagi?

Sumber: MacRumors, Forbes, iHelp BR