fbpx

Galaxy A30s dan Galaxy A50s perbaharui skrin dan kamera selepas 6 bulan

Samsung memperkenalkan siri serba baru Galaxy A30 dan Galaxy A50 semasa pameran MWC 2019 pada bulan bulan Februari yang lepas dan ia mula dijual di Malaysia pada bulan Mac. Enam bulan selepas ketibaannya, ia kini menerima kemaskini ‘s’ dan model barunya dikenali sebagai Galaxy A30s dan Galaxy A50s.

Ia merupakan kesinambungan dari pembaharuan yang pertama kali tiba di Galaxy A10s. Kedua-duanya masih mengekalkan skrin bertakuk berukuran 6.4-inci dengan bateri besar 4,000mAh tetapi menerima kemaskini dari segi kamera dan rekaan luaran.

Galaxy A30s

Walaupun skrin Galaxy A30s mengekalkan paparan Super AMOLED 6.4-inci, tetapi resolusinya telah jatuh kepada HD+ 1560×720 sahaja. Perbezaan lain ialah penggunaan pengimbas capjari dalam skrin. Pemprosesnya kelihatan sama seperti model yang lama dan kini ditawarkan dengan RAM sehingga 4GB dan storan sehingga 128GB.

Bahagian belakang Galaxy A30s kini dilengkapi tiga kamera, gabungan kamera utama 25MP F1.7, kamera ultra lebar 8MP dan kamera pengesan kedalaman 5MP. Untuk swafoto, kamera hadapan di dalam takuk menggunakan sensor 16MP F2.0.

Bateri 4,000mAh dipasang di dalamnya dan ia menyokong pengecasan pantas 15W melalui USB-C. Badan belakangnya kini menerima kemasam geometrik dengan pilihan warna Prism Crush Black, Prism Crush White, Prism Crush Green dan Prism Crush Violet.

Galaxy A50s

Rupa dengan Galaxy A50s kelihatan serupa dengan model lamanya Galaxy A50, tetapi di belakang ia menerima kemasan baru seperti di Galaxy A30s. Corak geometrik digunakan di belakang dengan pilihan warna Prism Crush Black, Prism Crush White, Prism Crush Green dan Prism Crush Violet.

Di hadapan, ia menggunakan skrin Super AMOLED HD penuh+ 6.4-inci yang memiliki pengimbas capjari di dalamnya. Kuasa pemprosesnya menggunakan cip Exynos 9610 8-teras dengan pilihan RAM sehingga 6GB dan storan sehingga 128GB.

BACA  Versi Kompak Xperia 1 Diumumkan Di IFA 2019 Dengan Nama Xperia 5

Kamera belakang Galaxy A50s diperbaharui yang menggandingkan kamera utama 48MP F2.0, kamera ultra lebar 8MP dan kamera pengesan kedalaman 5MP. Kamera hadapan juga dinaik taraf kepada sensor 32MP.

Bateri 4,000mAh turut terdapat di dalam Galaxy A50s dan ia menyokong pengecasan pantas 15W melalui USB-C. Jek audio 3.5mm dan slot kad mikroSD masih terdapat pada telefon ini.

Buat masa ini, masih belum ada harga jualan dan tarikh ia mula dijual. Samsung juga menyatakan kedua-dua model ini akan menyokong NFC dan Samsung Pay, tetapi ia mungkin berbeza mengikut pasaran kelak.

Sumber: Samsung