fbpx

Diam-diam Huawei Mate 30 akan dilancarkan di Malaysia minggu ini

Hampir dua minggu lepas, Huawei telah melancarkan telefon pintar terbaru mereka, siri Mate 30. Ia kini akan dilancarkan di Malaysia minggu ini, semasa Persidangan Ekosistem Huawei Malaysia 2019 (HMEC 2019) pada hari Khamis ini, 3 Oktober 2019.

HMEC 2019 akan memfokuskan pada perkhidmatan Huawei Mobile dan apa yang akan ditawarkan kepada pembangun di Malaysia. Menurut Huawei, harga rasmi siri Mate 30 dan program eksklusif pemilikannya akan diumumkan dalam persidangan tersebut.

Persidangan ini akan berjalan dari pukul 9 pagi hingga 2 petang. Tetapi slot pelancaran siri Mate 30 hanya diperuntukkan selama 20 minit sahaja. Ini dilihat sebagai pelancaran telefon kelas flagship Huawei paling merendah diri.

Perkara ini pastinya disumbang oleh ketidaktentuan perkhidmatan Google di telefon Huawei Mate 30. Sehingga kini, Huawei masih tidak menyatakan secara rasmi penggunaan perkhidmatan Google seperti Google Drive, Google Photos, Google Maps, YouTube, Gmail dan banyak lagi akan terdapat di Mate 30. Ia mungkin tidak ada di Mate 30 apabila dilancarkan di Malaysa kelak.

Sebaliknya, dalam persidangan ini Huawei mahu mendidik orang ramai tentang ekosistem aplikasi dan perkhidmatan ciptaan mereka sendiri. Tetapi ia pastinya menjadi bahan bualan orang ramai, kerana ekosistem Huawei masih tidak dikenali dan digunakan secara meluas, apatah lagi tahap keselamatan dan privasinya belum diketahui.

Adakah rakyat Malaysia bersedia untuk membeli telefon pintar Huawei Mate 30 tanpa dilengkapi perkhidmatan Google? Mungkin ini boleh terjadi jika harga yang ditawarkan kelak luar biasa.

Mengenalinya semula, Huawei Mate 30 datang dengan skrin OLED rata 6.62-inci dengan resolusi HD Penuh. Manakala Mate 30 Pro dilengkapi skrin lekuk 6.53-inci juga HD Penuh+ dari jenis OLED. Kedua- dua model Mate 30 menjalankan pemproses terbaru Kirin 990, bersama RAM sehingga 8GB dan storan sehingga 256GB.

BACA  Huawei Mate 30 pilih Malaysia destinasi pertama dijual di luar China

Untuk kamera, Mate 30 Pro meggunakan kamera utama 40MP F1.6, kamera ultra lebar 40MP F1.8, kamera telefoto 8MP F2.4 dan kamera sensor ToF 3D. Untuk Mate 30 pula, ia ada 3 kamera belakang iaitu kamera utama 40MP F1.8, kamera ultra lebar 16MP F2.2 dan kamera telefoto 8MP F2.4.

Bateri di dalam Mate 30 hanyalah 4,200mAh tetapi di Mate 30 Pro pula sedikit lebih besar iaitu 4,500mAh. Kedua-dua model ini menyokong pengecasan pantas Huawei SuperCharge 40W melalui USB-C, serta pengecasan wayarles pantas 27W.

Sistem operasi EMUI 10 berasaskan Android 10 digunakan oleh siri Mate 30. Tetapi ini tidak bermakna ia datang bersama perkhidmatan Google Playstore. Tetapi ada caranya jika anda mahu memasang perkhidmatan Google di Mate 30, jika ia tiada kelak. Ia hanya memerlukan keberanian anda untuk melakukannya.

Kehebatan kamera di Mate 30 Pro memang tidak dapat disangkal lagi. Ia turut menampilkan beberapa penambahbaikan berbanding Mate 20 Pro. Anda boleh lihat sendiri perbandingan kamera di Mate 30 Pro dan Mate 20 Pro dalam perbandingan kami di sini.