fbpx

Bahagian 2 – Kenapa MYTV Penting Untuk Kita?

Anda boleh baca bahagian satu dalam pautan di bawah.

Dalam bahagian pertama artikel ini, saya dah ceritakan sebab pertama mengapa kita perlu bertukar kepada digital TV secepat mungkin. Untuk mensegarkan ingatan anda semula, isyarat digital lebih bagus digunakan untuk menghantar data kerana ia rintang kepada interferens.

Sekarang saya nak berkongsikan sebab kedua mengapa MYTV penting untuk pacu pertumbuhan landskap telco negara.

MYTV optimumkan penggunaan spektrum frekuensi radio

Jadual di bawah mengandungi beberapa frekuensi penyaiaran analog di Malaysia. Ia mungkin berbeza mengikut tempat tapi di Lembah Klang, ini adalah frekuensinya.

Senarai frekuensi penyiaran analog di Malaysia

Jika anda perasan, setiap stesen televisyen ini miliki frekuensi mereka sendiri. Kemudian, mereka perlu pancarkan pula video dan audio dalam frekuensi berasingan. Untuk 8 buah saluran TV ini, kerajaan perlu sediakan 16 frekuensi khas untuk mereka saja. Lebih menyedihkan kita tak pernah menikmati TV beresolusi tinggi menerusinya.

Lihat pula frekuensi penyaiaran TV Digital ini. Frekuensi tak lagi ditambat pada stesen TV sebaliknya mengikut tempat. Contohnya untuk Lembah Klang, kita menggunakan frekuensi dalam saluran 45 dan 49 sebagai backup.

Walaupun hanya dipancarkan dalam satu frekuensi yang agak sempit badwidthnya iaitu 8Mhz saja untuk setiap saluran, MYTV mampu mendukung 12 saluran TV dan 4 radio serentak tanpa masalah, manfaat daripada penggunaan isyarat digital.

Bukan saja ia membawa maklumat video dan audio, menggunakan penyiaran digital, intisari rancangan boleh dihantar terus di kaca TV yang mustahil dilakukan semasa zaman analog.

Kemudian, semua penyiaran telah berpindah ke gelombang UHF jadi apabila Analog Switch Off (ASO) mengambil tempat kelak, frekuensi VHF yang digunakan TV telah dikosongkan untuk kegunaan lain.

BACA  Anda Jumpa Pengecas USB Murah? Fikir Banyak Kali Sebelum Belinya

Kenapa kena gunakan spektrum frekuensi radio dengan cekap?

Spektrum frekuensi radio adalah sumber yang terhad. Cuba bayangkan ia adalah sekeping pizza. Dulu sewaktu penyiaran analog bermula, mereka ada banyak frekuensi boleh digunakan.

Kemudian, muncul pula teknologi selular yang diperlengkap pada telefon mudah alih anda. Setiap generasi biarpun 1G, 2G, 3G, dan kini 4G perlukan frekuensi tersendiri dan mereka perlu merebut sebahagian pizza tadi.

Sekarang TV analog perlu berkongsi pizza dengan 4 orang lain. Seiring dengan peredaran zaman, 5G pula bersiap sedia untuk beroperasi sedangkan teknologi legasi tadi masih beroperasi. Dari mana 5G nak cekau frekuensi untuk servisnya? Sudah tentu daripada spektrum yang sama.

Itu belum mengambil kira servis lain yang menggunakan gelombang radio untuk berkomunikasi seperti penyiaran satelit, GPS, dan sebagainya. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) adalah pihak yang bertanggungjawab mengawal selia peruntukkan spektrum untuk digunakan.

MYTV tebas laluan untuk 5G

Andainya anda berminat untuk melihat gambaran yang lebih luas landskap frekuensi radio negara, anda bolehlah pergi ke laman SKMM kerana ada banyak sumber rujukan yang boleh bantu anda untuk sambung titik-titik untuk anda memahami situasi semasa.

Contohnya, ada banyak info menarik dalam Pelan Spektrum 2017. Misalnya, SKMM memperuntukkan tiga jalur untuk penyiaran TV, satu dalam julat VHF dan dua lagi dalam julat UHF.

Jalur VHF akan dikosongkan selepas MYTV beroperasi sepenuhnya
Jalur UHF miliki pembahagian yang lebih banyak, 112Mhz SKMM bahagikannya kepada 14 saluran
Jalur 5 adalah jalur tambahan yang akan dikosongkan tak lama lagi untuk kegunaan telco

Dalam satu laporan tanya siasat awam yang bertarikh 29 September 2019, SKMM telah meminta pandangan penyedia-penyedia telco utama negara tentang jalur 700Mhz (sebelum ini diperuntukkan kepada penyiaran TV) yang bakal dikosongkan.

Harga untuk setiap saluran frekuensi ini sudahpun dirangka pada harga bemula RM4.4 juta untuk satu komponen dengan yuran tahunan serendah RM300,000.

Begitulah sedikit sebanyak tentang bagaimana MYTV memainkan peranan dalam memacu kemajuan telekomunikasi negara. Jika anda nak tahu cara pasang MYTV, anda boleh rujuk tutorial kami di bawah.

BACA  Pemberian Kad SIM Percuma Di Tanjung Piai Jadi Tanda Tanya

Sumber