fbpx

Realme 5 dengan harga lebih murah diperkenal di Malaysia

Realme 5 telah dilancarkan di Malaysia pada awal bulan Oktober ini. Hari ini di majlis pelancaran Realme XT, Realme Malaysia mengumumkan kedatangan satu lagi model Realme 5 yang baru dan lebih murah dari sebelumnya. Harganya rendah datang dari penurunan saiz storan.

Model baru Realme 5 yang lebih murah ini datang dengan RAM sebanyak 3GB dan storan 32GB. Ia akan dijual di Malaysia bermula 11 November 2019 pada harga RM549.

Tetapi sebagai promosi khas sempena 11.11 kelak, Realme 5 dengan storan 32GB ini akan diberi diskaun RM50 pada hari pertama jualan, menjadikan harganya hanya RM499. Tetapi harga ini hanya boleh didapati selama satu hari dan eksklusif di Lazada sahaja.

Realme 5 adalah satu peranti yang sangat berbaloi dibeli dengan tanda harganya. Ia dikuasakan pemproses Snapdragon 665, dengan bateri mega sebesar 5,000mAh di dalam. Bagaimanapun, tiada sokongan pengecasan pantas, hanya datang dengan pengecas 10W.

Skrin Realme 5 seluas 6.5-inci dengan resolusi hanya HD+. Skrin ini dilapisi kaca Corning Gorilla Glass 3 dan terdapat takuk kecil di atasnya.

Tidak salah untuk dikatakan, Realme 5 adalah telefon paling murah boleh dibeli yang dilengkapi empat kamera belakang. Kamera tersebut ialah kamera utama 12MP F1.8, kamera ultra lebar 8MP, kamera potret 2MP dan kamera makro 2MP. Kamera hadapan pula 13MP F2.0 dan terletak di dalam takuk kecil di atas skrin.

Telefon ini memiliki pengimbas capjari di belakang dan masih mengekalkan jek audio 3.5mm serta sokongan kad mikroSD dalam slot tersendiri. Ia menjalankan sistem operasi ColorOS 6 berasaskan Android 9.0 Pie.

Kepada yang berminat membelinya, jangan lupa tarikh jualan pertamanya 11 November untuk menikmati diskaun RM50, menjadikan harga jualannya hanya RM499. Jika mahukan lebih storan dan RAM, Realme 5 turut boleh dibeli dengan RAM 3GB bersama storan 64GB berharga RM599, serta RAM 4GB dan storan 128GB RM799.

BACA  Jadual kemaskini Android 10 untuk peranti Realme