fbpx

Huawei akan dibenarkan kembali berniaga di Amerika Syarikat

Ketegangan sengketa ekonomi antara kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan China beransur-ansur pulih dan ia sedikit sebanyak akan memberi kebaikan buat Huawei dan Google. Ia berikutan kenyataan terbaru dari Setiausaha Perdangangan AS, Wilbur Ross yang mengatakan perbincangan ekonomi antara keduanya semakin positif.

Setiausaha Perdagangan AS, Wilbur Ross. Gambar Bloomberg

Antaranya beliau menyatakan, lesen penjualan komponen kepada Huawei akan tersedia buat syarikat AS tidak lama lagi. Lebih 200 permohonan untuk pengecualian telah diterima dan akan diproses tidak lama lagi.

Malah, Donald Trump juga akan bertemu Presiden China, Xi Jinping dalam masa terdekat untuk membincangkan fasa pertama kerjasama perdangangan antara keduanya.

Donald Trump dan Xi Jinping dalam pertemuan Jun lepas

Dengan pengecualian ini, ia pasti memberi kelegaan bukan sahaja kepada Huawei, malah kepada semua pengguna produk Huawei di seluruh dunia. Kesan sekatan ini boleh dilihat apabila telefon pintar terbaru Huawei, siri Mate 30 yang telah dijual di seluruh dunia termasuk Malaysia, mengalami kesukaran penerimaan akibat ketiadaan aplikasi Google di dalamnya.

Di Malaysia, Huawei terpaksa mengehadkan penjualan Mate 30 Pro kepada pengguna setia kemudiannya membuka jualan kedua kepada rakan rapat pembeli terawal. Orang ramai juga dilihat terpaksa mencari penyelesaian sendiri apabila mahu menggunakan aplikasi Google dan aplikasi lain yang tidak terdapat di dalam stor aplikasi Huawei AppGallery.

Sekatan terhadap Huawei bermula pada bulan Mei lepas apabila AS mengumumkan larangan mana-mana syarikat AS dari berurusan dengan Huawei, dengan alasan ancaman terhadap negara. Kemudian AS memberi kelonggaran selama 90 hari tetapi tidak lagi membenarkan urusan baru, mengakibatkan produk yang dilancarkan selepas sekatan tidak lagi dibenarkan berurusan. Ini memberi kesan kepada pelancaran siri Mate 30 di mana tiada aplikasi Google boleh digunakan di dalamnya.

BACA  GSC Aurum Theatre sediakan pengalaman mewah menonton filem berharga RM150

Sumber: GizChina