fbpx

Telefon 5G pertama Honor akan diperkenal hujung bulan ini

Presiden Honor, George Zhao telah mengesahkan bahawa pelancaran telefon 5G pertama keluaran Honor, V30 akan diadakan di Beijing, China pada 26 November 2019. Dijangka ia akan menggunakan cip terbaru keluaran Huawei, Kirin 990 5G untuk memperkasa telefon pintar terbaru itu.

Dari poster yang telah dikeluarkan, dapat dilihat telefon tersebut akan menggunakan skrin rata kerana ia tidak melengkung di sisi. Paling ketara, terdapat lubang berbentuk bujur di atas skrin tersebut, memuatkan dua kamera hadapan sama seperti di Galaxy S10+.

Jika diteliti lebih dekat, masih terdapat lubang speaker panggilan di atas skrin jadi ia tidak akan menggunakan speaker di belakang skrin. Ia juga membolehkan speaker stereo digunakan pada telefon, memberi satu lagi kemungkinan untuk V30.

Di bahagian tepi telefon pula, terdapat butang panjang yang biasanya merujuk kepada butang kawalan bunyi. Tetapi butang kuasa tidak kelihatan. Ini mungkin kerana Honor mahu menggunakan pengimbas capjari di sisi yang bergabung dengan butang kuasa, sama seperti di Honor 20. Bermakna, V30 mungkin masih belum menggunakan skrin AMOLED, masih kekal dengan skrin LCD.

Terdapat satu gambar yang telah tersebar tetapi masih tidak dapat dipastikan kesahihannya. Ia dikatakan kotak telefon kepada V30 dengan logo 5G di atasnya. Pada kotak ini tertera nama Vera 30, memberi petunjuk bahawa V30 tidak akan menggunakan nama View lagi.

Lebih penting lagi, adakah V30 untuk versi antarabangsa kelak akan datang bersama Google Mobile Services (GMS)? Ini kerana sekatan perniagaan oleh Amerika Syarikat terhadap Huawei masih belum dibatalkan dan ia mungkin memberi kesan kepada V30, sama seperti Huawei Mate 30 yang telah dijual tanpa dilengkapi GMS. Ada cara untuk memasukkan GMS di dalamnya tetapi ia tidak diikitraf oleh Huawei sendiri.

BACA  GSC Aurum Theatre sediakan pengalaman mewah menonton filem berharga RM150

Sumber: Weibo, GSMArena