fbpx

Amerika mahu kenakan cukai 100% terhadap produk Perancis kerana Cukai Digital

Seperti Malaysia, Perancis juga akan melaksanakan cukai digital bermula 1 Januari 2019. Sudah pasti, pelbagai syarikat IT akan terkesan dengan cukai ini, termasuk syarikat dari Amerika Syarikat (AS) seperti Amazon, Facebook dan Google.

Tetapi perkara ini nampaknya tidak disenangi oleh AS. Kerajaan yang diterajui oleh Presiden Donald Trump mahu mengenakan cukai sehingga 100% terhadap barangan Perancis yang mahu diimport masuk ke AS, seperti minuman, kosmetik dan beg tangan mewah. Langkah ini diambil sebagai tindakbalas dari cukai digital yang dikenakan Perancis.

Menurut Pejabat Perwakilan Perdagangan AS, siasatan “Seksyen 301” mereka mendapati cukai digital ini tidak konsisten dengan prinsip polisi cukai antarabangsa yang lazim dan membebankan syarikat-syarikat AS yang terkesan.

Robert Lighthizer dari Pejabat Perwakilan Perdagangan AS menyatakan, kerajaan AS sedang mempertimbangkan untuk membuka siasatan yang sama terhadap cukai digital yang dikenakan oleh Austria, Itali dan Turki. Tetapi beliau tidak pula menyatakan perkara yang sama dikenakan untuk Kanada dan Britain, yang turut merancang untuk mengenakan cukai digital. Robert menambah, mereka kini memberi fokus untuk melawan semula perlindungan terhadap ahli EU yang kian berkembang kerana ia mendiskriminasi syarikat AS secara tidak adil.

Robert Lighthizer dari Pejabat Perwakilan Perdagangan AS

Sebenarnya, cukai digital yang dikenakan Perancis ini tidak tertakluk kepada syarikat dari AS sahaja, malah ia turut memberi kesan kepada China, Jerman, British dan juga syarikat dari Perancis sendiri. Cukai sebanyak 3% ini dikenakan kepada syarikat yang membuat keuntungan dari perkhidmatan digital melebihi EUR25 juta di Perancis dan EUR750 juta di seluruh dunia. Di Turki, cukai digital yang dicadangkan pada tahap 7.5% manakala di UK pula merancang untuk mengenakan cukai 2% terhadap keuntungan enjin carian, media sosial dan pasaran dalam talian.

BACA  Sejarah Bestie Boys akan difilem dan ditayangkan eksklusif di Apple TV+

Malaysia juga akan mengenakan cukai digital sebanyak 6% bermula 1 Januari 2020. Perkara ini disahkan menerusi notis yang dihantar Google kepada pelanggan G Suite di Malaysia.

Sebagai menjawab ugutan yang cuba dibuat oleh AS, kerajaan Perancis menyatakan, Kesatuan Eropah akan bertindak balas terhadap AS. Menteri Kewangan Perancis, Bruno Le Maire berkata, “Mereka sekutu yang tidak bernilai, dan ini bukan kelakuan yang kami jangkakan dari US terhadap salah satu sekutu utama mereka, Perancis dan secara umum, Eropah. Jika ada sekatan baru dikenakan oleh AS, EU akan bertindak untuk membalasnya.”

Bercakap kepada pemberita di London, Presiden AS Donald Trump berkata, “Saya tidak akan membiarkan sesiapa sahaja mengambil kesempatan terhadap syarikat AS. Jika ada yang mahu mengambil kesempatan terhadap syarikat AS, ia adalah kami sendiri. Saya tidak mahu kerajaan Perancis mengenakan cukai terhadap syarikat AS. Jika ada yang mahu mengenakan cukai terhadap syarikat AS, ia adalah kami sendiri.” Trump juga mengambil kesempatan menyatakan, Presiden Perancis sendiri kadang-kadang melakukan kerja yang tidak produktif kepada negaranya.

Sumber: Reuters, Bloomberg, Malay Mail