E-Tunai Rakyat, Semua Yang Anda Perlu Tahu

Program e-Tunai Rakyat telah diumumkan oleh kerajaan semasa pembentangan bajet 2020 yang lalu. Ia bagi merancakkan lagi landskap cashless society dalam tahun 2020.

Sebanyak RM450 juta telah diperuntukkan untuk menjayakannya. Dalam program tersebut, kerajaan akan memberikan RM30 secara one-off, masuk kedalam e-Wallet pengguna yang layak.

Siapa yang layak?

Ada dua kriteria yang membolehkan anda nikmati manfaat e-Tunai Rakyat iaitu:

  • penerima adalah warganegara Malaysia yang berumur lebih 18 tahun
  • penerima miliki pendapatan tahunan tidak melebihi RM100 ribu

E-Wallet yang mana?

Bermula 15 Januari 2020, anda yang layak bolehlah menebus RM30 yang dijanjikan kerajaan.

Untuk berbuat demikian, kerajaan telah memilih 3 servis e-Wallet sebagai saluran penyampaian. Mereka ialah:

  • Boost eWallet
  • GrabPay
  • Touch ‘n Go eWallet

Sungguhpun anda miliki semua APP yang tersenarai, anda hanya boleh menebus RM30 masuk ke salah satu e-Wallet sahaja kerana ada pengesahan penerimaan dilakukan. Sebelum anda terimanya, anda perlu lakukan proses pengesahan identiti yang dikenali sebagai know your customer (KYC).

Proses KYC adalah sama untuk semua e-Wallet kerana ia telah digariskan oleh kerajaan.

Anda perlu ambil gambar salah satu dokumen pengenalan diri, sama ada Kad Pengenalan ataupun Passport. Kemudian, anda perlu ambil gambar selfie untuk dikepilkan bersama kad pengenalan tadi. Pengesahan mungkin ambil masa beberapa jam kerana ia dilakukan secara manual, bukannya komputer.

Sebelum itu, anda perlu diingatkan yang RM30 tersebut ada tempoh luputnya. Anda kenalah gunakan insentif tersebut dalam masa 3 bulan bermula 15 Januari 2020. Kalau tak, ia akan dikeluarkan semula daripada e-Wallet anda.

BACA  WHO Isytihar "Darurat Global" Untuk Banteras 2019-nCoV

Kenali 3 e-Wallet bawah Program e-Tunai Rakyat

Boost eWallet diperkenalkan dalam bulan Januari 2018. Ia adalah produk daripada Axiata Digital Services Sdn. Bhd. Pendek kata, ia saudara mara Celcom.

Touch ‘n Go e-Wallet diperkenalkan dalam bulan Februari 2017. Sejak dilancarkan, ia telah mengalami overhaul daripada segi UI sebanyak beberapa kali. Setakat tahun 2020 ini, pengalaman menggunakannya nyata lebih baik daripada awal dulu.

Grab asalnya ditubuhkan di Malaysia menggunakan nama MyTeksi dan GrabTaxi tapi sudahpun memindahkan operasi mereka ke Singapura. GrabPay diperkenalkan dalam bulan Jun 2019 di Malaysia dan ia bukan saja boleh digunakan untuk bayar perkhidmatan teksi Grab, tapi di macam-macam tempat lagi.

Persamaan antara mereka

Asasnya, semua e-Wallet ada fungsi sepunya. Paling ketara adalah semuanya menggunakan kod QR untuk lakukan transaksi, sama ada antara anda dengan pengguna lain ataupun antara anda dengan penjual.

Menggunakan kod QR tersebut, anda boleh lakukan perpindahan kredit sesama anda dan ia berguna sekira dalam situasi split bills di kedai-kedai makan dan sebagainya.

Fungsi lain yang menarik adalah seperti tambah nilai telco, bayar bil utiliti, tempat letak kereta di beberapa kawasan Pihak Berkuasa Tempatan dan sebagainya.

Ciri-ciri Boost eWallet
Ciri-ciri GrabPay
Ciri-ciri Touch ‘n Go eWallet

Perbezaan antara mereka

Untuk setiap e-Wallet ada satu ciri unik yang menonjol. Di GrabPay, anda boleh gunakannya untuk bayar teksi Grab ataupun makanan tengah hari anda yang ditempah melalui GrabFood.

Untuk Touch ‘n Go, fungsi yang paling menyerlah adalah PayDirect. Ia benarkan anda untuk gunakan baki e-Wallet untuk bayar tol di hampir semua lebuh raya di Lembah Klang.

BACA  COVID-19: Pengarah WHO Hargai Komitmen Kerajaan Malaysia Tangani Penularan Wabak

Di bahagian Boost, mereka adalah satu-satunya e-Wallet yang benarkan penggunannya mengeluarkan wang daripada servis mereka untuk dapatkan tunai. Bayaran yang dikenakan adalah 2% daripada permintaan ataupun maksimum RM2 untuk setiap transaksi. Proses tersebut ambil masa sehingga 3 hari waktu bekerja.

Sumber