Jabra Elite 75t ialah fon kepala TWS yang semakin mengecil dan kalis air

Jabra Malaysia membuka tirai tahun 2020 dengan melancarkan fon kepala TWS terbaru, Elite 75t. Ia menggantikan model Elite 65t yang dilancarkan tahun lepas, dengan rekaan yang kekal kompak dan ditambah fungsi kalis air.

Penambahbaikan terbesar pada Elite 75t ialah pada baterinya. Ia kini memiliki jangka hayat 90% lebih lama berbanding Elite 65t, dengan 7.5 jam pada fon kepala sahaja dan sehingga 28 jam bersama kotak pengecas. Dengan penggunaan teknologi Bluetooth v5.0, ia menggunakan tenaga lebih rendah dengan sambungan wayarles yang lebih stabil dan mudah. Ia juga dicas melalui port USB-C yang lebih pantas.

Fon kepala Elite 75t juga menjadi lebih kecil. Dengan rekaan lebih tirus, ia tidak lagi melekat pada telinga dan menjadikannya selesa untuk digunakan pada masa panjang. Ia juga masih menggunakan butang kawalan fizikal, tetapi boleh ditekan lebih lembut agar tidak perlu ditekan terlalu kuat ke dalam telinga, seperti di Elite 65t.

Satu perkara yang perlu ditekankan ialah fon kepala ini tiada pembatalan bunyi hingar aktif (active noise cancellation, ANC). Tetapi khas untuk panggilan, Jabra menggunakan teknologi 4-mikrofon dengan fungsi pengurangan bunyi bising dan angin. Ini membolehkan pengguna membuat dan menjawab panggilan dengan jelas walaupun berada di persekitaran yang bising dan sibuk.

Dengan telinga disumbat, Jabra Elite 75t disertakan fungsi HearThrough yang membolehkan pengguna mendengar bunyi luaran dengan jelas. Apabila dipasang aplikasi Jabra Sound+, pengguna boleh menetapkan tahap bunyi HearThrough, memantau tahap bateri dan lebih banyak tetapan bunyi.

Jabra Malaysia memberikan jaminan selama 2-tahun untuk fon kepala ini dengan penggantian produk 1-ke-1 jika rosak akibat faktor teknikal pengeluaran. Terdapat dua warna disediakan, Titanium Black yang boleh dibeli sekarang dan Gold Beige yang akan datang pada Mac 2020.

BACA  Astro Broadband kini menawarkan internet tanpa had berkelajuan 300mbps, 500Mbps dan 800Mbps

Harga jualan Jabra Elite 75t di Malaysia ialah RM949 dan boleh didapati dari pengedar sah produk Jabra Malaysia seperti All IT Hypermarket, Harvey Norman, Foto Shangri-La dan kedai rasmi Jabra di LazMall. Pada harga ini, kekurangannya ialah seperti tiada ANC dan tiada pengecasan wayarles. Tetapi kelebihannya ialah ia kalis air dan debu IP55. Tetapi tahap ini tidak boleh dimasukkan ke dalam air, lebih kepada kalis percikan air.

Maklumat lanjut mengenai fon kepala ini boleh ditemui di laman produk Jabra Elite 75t.