Apakah kejutan pada telefon konsep ketiga Vivo di MWC bulan hadapan?

Vivo sering menghasilkan telefon konsep menggunakan nama Apex. Sebelum ini, Apex yang pertama telah direalisasikan menjadi telefon pintar Vivo NEX. Tetapi model kedua Apex tidak pula dihasilkan secara komersial.

Kini Vivo mengumumkan akan mempamerkan generasi ketiga Apex di pameran Mobile World Congress (MWC) di Barcelona, Sepanyol yang akan diadakan pada hujung bulan Februari. Buat masa ini, tiada maklumat berkenaan telefon konsep ini diberitahu. Vivo akan mengadakan sidang media di MWC pada 23 dan 24 Februari 2020.

Model pertama Apex pada awal 2018 menampilkan teknologi kamera pop-up boleh sembunyi, antara yang terawal ada di telefon pintar. Ia juga memperlihatkan teknologi pengimbas capjari di dalam skrin, di mana kedua-dua teknologi ini dikekalkan apabila Vivo NEX dilancarkan.

Vivo NEX

Pada model kedua Apex pula, Vivo membawakan konsep tiada lubang pada telefon pintar. Tiada lubang mengecas, tiada jek audio, tiada lubang pembesar suara dan tiada slot kad sim dan mikroSD. Ia juga tidak memiliki sebarang butang fizikal. Paling menarik, pengimbas capjari boleh digunakan di seluruh skrin.

Mungkin disebabkan teknologi pada Apex kedua ini sukar untuk dihasilkan, mmebuatkan Vivo terpaksa menghentikan idea untuk menjadikan konsep telefon ini kepada produk komersial. Pada generasi ketiga ini, apakah kejutan yang bakal dibawakan oleh Apex? Semoga ia menjadi sesuatu yang boleh memberi impak besar kepada pengguna, seperti yang ditampilkan oleh Apex sebelum ini.

Apa teknologi baru yang anda ingin ada di telefon pintar? Mungkin ia akan muncul di Vivo Apex yang baru kelak.

BACA  Motorola Bakal Lancar Sebuah Flagship Di MWC 2020