Samsung dah pun merancang untuk mengadakan acara Unpacked 2020 pada 11 Februari 2020, dijangka memperkenalkan siri terbaru untuk Galaxy S. Ia dikhabarkan akan memiliki naik taraf terbesar di kamera setelah sekian lama. Semakin menghampiri tarikh pelancarannya, semakin banyak khabar angin tersebar dan kini, ada maklumat yang berkata tentang spesifikasi penuh untuk telefon terbaru Samsung ini.
Salah seorang pembocor berita di internet, Ishan Agarwal telah berkongsi maklumat berkenaan spesifikasi penuh siri Galaxy S20 melalui laman MySmartPrice. Seperti yang banyak diperkatakan sebelum ini, terdapat tiga model iaitu Galaxy S20, Galaxy S20+ dan Galaxy S20 Ultra. Semua model ini akan menggunakan skrin Quad HD dengan Dynamic AMOLED dan memiliki refresh rate setinggi 120Hz.
Maklumat yang dikongsi Ishan adalah seperti berikut:
Untuk pemproses, seperti biasa Samsung akan menggunakan kuasa Exynos 990 untuk pasaran Eropah dan Asia manakala pasaran Amerika Syarikat akan menggunakan Snapdragon 865. Storan dalaman diberikan dari 128GB sehingga 512GB dan ia masih menyokong kad mikroSD sehingga 1TB untuk semua model. RAM tidak pula disenaraikan tetapi dipercayai 12GB akan menjadi standard bagi semua, dengan Galaxy S20 Ultra akan ditawarkan bersama RAM 16GB untuk model storan 512GB.
Walaupun kamera dikatakan menerima naik taraf terbesar sejak sekian lama, ia tidak sama pada semua model. Bagi Galaxy S20 Ultra, ia akan dipasang dengan kamera utama 108MP dan kamera telefoto 48MP. Banyak sumber menyatakan ia menyediakan lensa optikal dengan zum 10x dengan zum digital sehingga 100x.
Bagi Galaxy S20 dan S20+, ia masih menggunakan kamera utama 12MP tetapi dengan saiz piksel lebih besar. Kamera telefotonya pula 64MP dengan keupayaan zum optikal 3x. Ini masih satu naik taraf yang besar dari sebelumnya. Kamera ketiga ialah kamera ultra lebar 12MP tetapi hanya di Galaxy S20+, ia akan ditambah kamera keempat ToF.
Satu fungsi baru yang akan ada pada semua ialah keupayaan rakaman video 8K. Kamera hadapan pula, Galaxy S20 Ultra memiliki kamera lebar 40MP manakala dua lagi model dibawahnya dipasang dengan kamera 10MP. Kamera hadapan ini boleh merakam video sehingga 4K 60fps.
Di bahagian bateri pula, Galaxy S20 diberikan bateri 4,000mAh manakala Galaxy S20+ dengan 4,500mAh dan Galaxy S20 Ultra pula 5,000mAh. Semua model juga kalis air dan debu IP68 dan memiliki pembesar suara stereo.
Ishan turut berkongsi tarikh mula penjualan siri Galaxy S20. Ia akan dijual sekitar 13 Mac 2020 dengan tempahan awal dibuka sejurus selepas pelancaran pada 11 Februari 2020. Seperti tradisi sebelumnya, Malaysia pasti termasuk dalam gelombang pertama jualan. Malah, harga di Malaysia sering menjadi antara terendah berbanding negara lain. Di samping tawaran hadiah luar biasa untuk tempahan awal.
Jika ada satu kekurangan, antara yang boleh dikatakan ialah tiada lagi jek audio 3.5mm. Tetapi adakah ini masih menjadi masalah untuk anda? Jika tidak, mahukah anda menjadi yang terawal memiliki siri Galaxy S20 selepas dilancarkan nanti?
Sumber: MySmartPrice, Ishan Agarwal