Oppo pengeluar kedua terima pengiktirafan SIRIM untuk telefon pintar 5G

Tahun ini, Malaysia akan memacu rangkaian 5G agar ia sedia digunakan oleh semua. Selepas SKMM mengumumkan jalur spektrum yang akan diberikan untuk kegunaan rangkaian 5G di Malaysia, pengeluar telefon pintar telah mula mengambil langkah untuk mendaftarkan telefon pintar 5G mereka di sini.

Huawei Mate 30 Pro 5G adalah telefon pintar 5G pertama mendapat pengiktirafan dari SIRIM untuk digunakan di Malaysia. Kini, Oppo pula mengumumkan telefon pintar 5G mereka turut menerima pengesahan dari SIRIM. Dalam emel yang diutus kepada media, Oppo tidak menyatakan apakah model telefon pintar tersebut tetapi carian mudah di SIRIM memberi jawapan yang jelas.

Telefon pintar 5G Oppo yang menerima pengesahan SIRIM tersebut menggunakan model nombor CPH1921. Carian di Google pula menyatakan, ia adalah Oppo Reno 5G. Ia adalah model pertama Oppo Reno yang sama dilancarkan di Malaysia pada bulan Mei tahun lepas, dengan tambahan sokongan 5G.

Dari pengesahan SIRIM tersebut, Oppo Reno 5G menyokong hanya jalur 3500MHz untuk rangkaian 5G, tidak seperti Huawei Mate 30 Pro 5G yang menyokong jalur 700MHz, 3,500MHz dan 3,700MHz. Lebih banyak sokongan jalur bermakna lebih luas keserasian untuk digunakan di mana-mana jalur 5G.

Satu lagi maklumat yang dapat dilihat dari SIRIM ialah Oppo Reno 5G ini menyokong hanya satu kad sim, tiada dwi-kad sim seperti yang selalu ada di telefon pintar masakini. Hanya satu jalur 5G dan satu kad sim, mungkin ramai kurang gemar tentangnya tetapi ia mungkin juga cara paling mudah untuk Oppo membawa telefon pintar 5G pertama mereka ke Malaysia.

Oppo Reno 5G adalah telefon pintar yang sama dengan Oppo Reno 10x Zoom. Ia dikuasakan pemproses Snapdragon 855, RAM 8GB dan storan dalaman 256GB dari jenis UFS2.1. Telefon ini turut menerima tambahan storan melalui kad mikroSD. Baterinya sebesar 4,065mAh dan menyokong pengecasan pantas VOOC 3.0 melalui sambungan USB-C.

BACA  Pengeluar China mahu lancar GDSA untuk saingi Google Playstore

Terdapat tiga kamera di belakangnya iaitu kamera utama 48MP F1.7, kamera telefoto periskop 13MP F3.0 dan kamera ultra lebar 8MP F2.2. Dengan kamera periskop, ia membolehkan Reno 10x Zoom memiliki zum lossless sehingga 10x dan zum digital sehingga 60x. Kamera utama dan periskop di Reno 10x Zoom juga dilengkapi penstabil imej optikal (OIS).

Untuk kamera hadapan, ia menggunakan kamera 16MP F2.0 di dalam modul boleh sembunyi berbentuk sirip jerung. Dengan ini, ia membolehkan skrin Reno 10x Zoom tiada takuk dan lubang. Skrin Reno 10x Zoom berukuran 6.6-inci dari jenis AMOLED dan resolusi HD Penuh+. Paparan ini turut memiliki pengimbas capjari yang tertanam di dalam skrin.

Oppo Reno 10x Zoom kini dijual di Malaysia pada harga RM2,999. Dijangka untuk versi 5G, harganya pasti lebih tinggi sedikit. Persoalan seterusnya, bila pula ia akan mula dijual di Malaysia? Oppo Malaysia masih belum mengumumkannya tetapi kita boleh jangka akan melihatnya sekitar tahun ini juga.