Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 31 Dec, 2020

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

Bateri besar, pengecas pantas dan kamera biasa tiba di Redmi Note 9 Pro dan Pro Max

Bertempat di India, dua telefon pintar baru dari Xiaomi kini dilancarkan. Tidak lagi menggunakan nama biasa, ia diperkenalkan dengan nama panjang yang amat mirip dengan iPhone. Dua model baru tersebut ialah Redmi Note 9 Pro dan Redmi Note 9 Pro Max.

Kedua-dua telefon ini sangat mirip dalam banyak perkara, termasuk skrin, bateri dan kuasa dalaman. Apa yang membezakannya adalah kamera utama, kamera hadapan dan kuasa pengecas yang datang bersama di dalam kotak.

Redmi Note 9 Pro Max

Telefon ini diperkasa oleh cip baru dari Qualcomm, iaitu Snapdragon 720G. Ia digandingkan bersama RAM sehingga 8GB dan storan UFS2.1 sehingga 128GB.

Kali ini ia datang dengan skrin yang lebih besar dan panjang berbanding Redmi Note 8 Pro. Skrinnya berukuran 6.67-inci, dalam nisbah sinematik 20:9 seperti layar panggung wayang dan masih kekal menggunakan skrin LCD HD Penuh.

Satu lagi yang berbeza ialah skrin ini tidak lagi bertakuk, tetapi berlubang di tengah atas seperti Galaxy S20. Masih tiada pengimbas capjari dalam skrin, tetapi kini ia diletakkan di sisi, bergabung dengan butang kuasa.

Tenaga di Redmi Note 9 Pro Max kini dibekalkan dari bateri berkapasiti 5,020mAh. Ini adalah kapasiti terbesar pernah ada di siri Redmi Note. Kali ini ia datang bersama pengecas 33W di dalam kotak, yang menggunakan sambungan USB-C.

Di bahagian kamera, boleh dikatakan tiada peningkatan besar dari model sebelumnya. Kamera di belakang masih lagi 4 iaitu kamera utama 64MP F1.89, tetapi ia menggunakan sensor CMOS besar bersaiz 1/1.17-inci. Bersamanya ialah kamera ultra lebar 8MP F2.2, kamera makro 5MP dan kamera pengesan kedalaman 2MP. Kamera ini boleh merakam video sehingga 4K serta video gerak super perlahan 960fps. Kamera hadapannya pula 32MP yang terletak di dalam lubang di atas skrin.

BACA  5 telefon terbaik bawah RM1,200 di Malaysia (September 2020)

Xiaomi mengiklankan telefon ini dengan tiga kaca Corning Gorilla Glass 5. Kaca tersebut ialah di skrin hadapan, di badan belakang serta di modul kamera belakang. Terdapat tiga warna disediakan iaitu Aurora Blue, Glacier White dan Interstellar Black.

Redmi Note 9 Pro

Seperti saudaranya Pro Max, Redmi Note 9 Pro turut dikuasakan cip terbaru Qualcomm, Snapdragon 720G. Ia disertakan RAM antara 4GB dan 6GB bersama storan UFS 2.1 sehingga 128GB.

Skrin juga tiada perbezaan langsung, sama dengan Redmi Note 9 Pro Max. Kapasiti bateri tidak berbeza, sebesar 5,020mAh tetapi ia diberikan pengecas pantas USB-C berkuasa 18W.

Kamera di belakang juga empat, dengan perbezaan pada kamera utama sahaja. Di Redmi Note 9 Pro, kamera utamanya menggunakan sensor 48MP F1.79 dengan saiz sensor 1/2.25-inci. Kamera lain ialah kamera ultra lebar 8MP F2.2, kamera makro 5MP dan kamera pengesan kedalaman 2MP. Di hadapan, ia menggunakan kamera 16MP.

Lain-lain ciri menarik yang ada pada kedua-dua telefon baru ini adalah seperti tiga slot kad (2 kad sim nano dan 1 kad mikroSD), pemancar infra merah, jek audio 3.5mm dan kalis pecikan air menggunakan selaput P2i.

Tarikh dan harga jualan

Di India, Redmi Note 9 Pro akan mula dijual pada 17 Mac manakala Redmi Note 9 Pro Max pula pada 25 Mac 2020. Harga jualannya di India adalah seperti berikut:

  • Redmi Note 9 Pro (RAM 4GB + Storan 64GB) – INR12,999 (~RM747)
  • Redmi Note 9 Pro (RAM 6GB + Storan 128GB) – INR15,999 (~RM919)
  • Redmi Note 9 Pro Max (RAM 6GB + Storan 64GB) – INR14,999 (~RM862)
  • Redmi Note 9 Pro Max (RAM 6GB + Storan 128GB) – INR16,999 (~RM977)
  • Redmi Note 9 Pro Max (RAM 8GB + Storan 128GB) – INR18,999 (~RM1,092)
BACA  Peluang beli Poco X3 dengan diskaun RM 150 dan percuma Black Shark Funcooler kembali

Xiaomi tidak menyatakan bilakah model terbaru ini akan dijual di luar India. Satu lagi perkara yang perlu diambil perhatian, model di India mungkin tidak akan sama dengan yang dijual di Malaysia. Beberapa model Redmi Note sebelum ini menunjukkan perbezaan spesifikasi untuk India dan Malaysia.

Persoalannya, apakah perbezaan yang akan dibawakan ke Malaysia kelak? Harap-harap harga jualannya boleh dikekalkan di bawah RM1,000.